KUALA LUMPUR: Dengan penuh tumpuan, Muhammad Ilham Shah Mahiyuddin melipat sehelai kertas hingga bertukar menjadi ketupat. Pemuda berusia 23 tahun ini, yang lebih dikenali sebagai Shah, memberikan nafas baharu kepada seni origami dengan menghasilkan karya yang sarat dengan elemen budaya tempatan.
"Ini membolehkan saya memperkenalkan budaya kita kepada khalayak yang lebih luas," katanya kepada FMT Lifestyle. Antara karyanya yang paling menonjol ialah figura lima pahlawan legenda Melaka – Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Lekiu dan Hang Kasturi. Bagi Shah, figura ini bukan sekadar kertas lipatan, tetapi cara untuk memastikan kisah tempatan terus hidup.
Pada suatu pameran, dia teringat menerangkan kisah pahlawan tersebut kepada seorang pelancong yang mengagumi karyanya. "Saya rasa bangga dapat memperkenalkan budaya tempatan dengan cara ini," katanya. Figura pahlawannya turut menarik perhatian kanak-kanak. Shah percaya origami boleh menjadi kaedah menarik untuk memperkenalkan sejarah tempatan kepada generasi muda.
Perjalanan Bermula Sejak Kecil
Namun, sebelum menghasilkan figura pahlawan dan karya budaya, Shah hanyalah seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang terpesona dengan lipatan kertas selepas melihat neneknya membentuk kertas menjadi mangkuk. Melihat minatnya, ibu Shah mencari arahan origami dalam talian, tetapi reka bentuk yang ditemui terlalu sukar untuk seorang pemula. Lalu, dia bereksperimen sendiri menggunakan teknik lipatan berbeza. Tidak lama kemudian, kemahirannya meningkat, menghasilkan dinosaur, ikan dan figura lain melalui cubaan dan kesilapan.
Kira-kira enam tahun lalu, dia bertemu Kenneth Ch'ng, pengasas Malaysia Origami Academy, yang memberi inspirasi untuk meneroka ciptaan berakar umbi budaya Malaysia. "Ciptaan pertama yang diilhamkan budaya tempatan ialah pakaian tradisional Melayu lelaki," kata Shah. Dari situ, dia mengembangkan karyanya termasuk ketupat, keris, figura pahlawan dan banyak lagi.
Proses Kreatif dan Cabaran
Bercerita lanjut mengenai figura pahlawan, Shah menjelaskan setiap keping dihasilkan menggunakan dua helai kertas yang dicantumkan dengan gam metil selulosa. Menyiapkan satu figura mengambil masa antara lapan hingga 12 jam. Shah mengambil masa enam bulan untuk memperhalusi teknik sebelum menghasilkan kepingan pertamanya.
Selain figura pahlawan, Shah juga mencipta origami pelbagai jenis wau di Malaysia: "wau puyuh", "wau helang", "wau barat" dan lain-lain. Tahun lalu, Shah – artis bersekutu dengan Malaysia Origami Academy – menghasilkan origami logo kepengerusian ASEAN Malaysia selepas akademy itu menerima komisen daripada Kedutaan Jepun di Malaysia. Menggambarkannya sebagai kemuncak perjalanan origaminya, katanya: "Saya menggunakan 14 helai kertas, dan mengambil masa kira-kira 20 minit untuk melipat."
Gerakan Origami Malaysia
Walaupun origami tetap menjadi minatnya, Shah kini mengusahakan perniagaan menjual kraf tangan daripada kayu bernama "Xenimy Network". Kenneth Ch'ng, 53, berkata: "Saya sangat gembira melihat orang muda seperti Shah mencipta origami yang diilhamkan budaya tempatan." Ini, katanya, adalah objektif "gerakan origami Malaysia" yang dimulakannya pada 2014, yang "menggalakkan artis mencipta origami diilhamkan warisan budaya Malaysia merentas pelbagai kategori seperti flora, fauna, pakaian tradisional, seni bina, tokoh utama dan makanan".
Bagi Shah, apa yang bermula sebagai rasa ingin tahu zaman kanak-kanak telah berkembang menjadi cara bermakna untuk meraikan identiti Malaysia melalui origami. Dan dia tidak punya rancangan untuk berhenti. "Pada masa depan, saya merancang untuk mencipta lebih banyak karya diilhamkan elemen dari Sabah dan Sarawak seperti alat muzik, motif tradisional serta flora dan fauna tempatan," tutup Shah.



