KUALA LUMPUR, 12 Mei — Selepas sekian lama menanti kepulangan Shila Amzah dengan konsert solo berskala besar di Malaysia, penyanyi itu akhirnya memukau penonton tempatan sekali lagi melalui persembahan istimewa sempena 25 tahun perjalanannya dalam industri hiburan.
Konsert itu merupakan hadiah kepada peminat setianya yang telah lama menantikan kepulangannya sejak persembahan terakhirnya di sini pada 2023, memandangkan beliau telah memberi tumpuan kepada kerjaya di China sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Bertempat di Dewan Filharmonik Petronas yang prestij di sini — sebuah venue impian ramai penyanyi — pada hari Sabtu, 'Resonance: Shila Amzah in Harmony — 25 Years of Music & Memories' bukan sekadar konsert biasa. Ia menjadi sebuah perjalanan intim yang membolehkan peminat berhubung lebih mendalam dengan artis tersebut.
Shila memulakan konsert tepat pada pukul 8.20 malam, menggambarkan malam itu sebagai cerminan kisah hidupnya, dipenuhi detik-detik nostalgia patah hati, perjuangan dan kejayaan peribadi.
"Apabila saya melihat kembali 25 tahun dalam muzik, saya sedar masih banyak yang ingin saya kongsi. Ada saat gembira, tetapi ada juga masa ketika saya rasa saya berhutang maaf kepada diri sendiri kerana bertahan terlalu lama."
"Ada detik yang terasa seperti déjà vu, apabila cerita dan luka yang sama berulang. Tetapi satu perkara yang saya percaya ialah setiap kejatuhan bukanlah pengakhiran... ia adalah cara Tuhan mengajar kita untuk menjadi lebih kuat," katanya kepada penonton semasa konsert.
Anggun dalam sut hitam tersuai, Shila, 36, yang nama penuhnya Nurshahila Amir Hamzah dan anak kepada penyanyi serta pelakon terkenal era 1980-an, ND Lala, turut berkongsi bahawa album terbarunya 'SA25' melambangkan perjalanannya sejak memasuki industri hiburan pada usia sembilan tahun sehingga kini.
Barisan lagu hit yang dipersembahkannya di konsert itu mendefinisikan babak berbeza dalam kerjayanya, tetapi apa yang menjadikan malam itu lebih istimewa ialah balada emosinya yang mempamerkan vokal kuatnya. Beliau juga memukau penonton dengan beberapa lagu Mandarin yang membantu meningkatkan popularitinya di China.
Penonton bukan sahaja terdiri daripada orang Melayu pelbagai peringkat umur, tetapi juga kaum lain, termasuk peminat setianya dari China.
Mempersembahkan lebih daripada 20 lagu, termasuk beberapa segmen medley dalam tempoh dua jam, kehebatan vokal juara Asian Wave 2012 itu tidak dapat dinafikan. Kawalan vokal dan konsistensinya kekal sempurna sepanjang malam, walaupun tanpa penyanyi latar.
Ada juga penampilan istimewa oleh Jaclyn Victor, yang menyertainya di atas pentas untuk mempersembahkan lagu Sahabat.
"Terima kasih kerana datang malam ini untuk menyokong kawan saya. Saya rasa sangat terhormat kerana selesekian lama dalam industri, dia memilih saya untuk bernyanyi bersamanya," kata Jaclyn.
Menutup konsert, Shila menggambarkan perjalanan 25 tahun dalam muzik bukan semata-mata tentang dirinya, tetapi juga tentang peminatnya yang kekal setia sepanjang tahun. Antara lagu yang dipersembahkan malam itu ialah Patah Seribu, Masih Aku Cinta, Dao Shi Shuo Ai Wo, Forever Love dan Sirna Hati. — Bernama



