KUALA LUMPUR, 12 Mei — Mencecah empat dekad dalam industri hiburan bukan sekadar angka; ia adalah perjalanan panjang penuh suka duka, kenangan berharga dan penghargaan tulus, yang semuanya terangkum dalam konsert 4 Decades Fauziah Latiff Live in Concert baru-baru ini.
Diadakan di Plenary Hall Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), konsert ini menjadi platform buat Fauziah Latiff, 56 tahun, yang mesra disapa Kak Gee, untuk merenung perjalanan seninya melalui persembahan penuh emosi dan nostalgia yang meraikan ikatan erat dengan peminat sejak awal kariernya.
Hampir 3,000 peminat memenuhi dewan, kebanyakannya berpakaian putih sebagai simbol perpaduan dan sokongan padu buat penyanyi yang sinonim dengan balada cinta abadi ini.
Sejak melangkah ke pentas, Fauziah merendah diri dengan mengakui bahawa malam itu bukan tentang mengejar kesempurnaan teknikal, tetapi tentang keikhlasan seorang seniman yang tampil untuk peminat setia yang menyokongnya sejak era kaset.
“Mungkin tidak sempurna (nyanyian), tapi saya benar-benar berharap semua yang hadir malam ini akan pulang dengan kenangan indah bersama saya,” katanya dengan terharu.
Persembahan selama lebih dua jam itu membawa penonton menelusuri setiap babak karier Fauziah dengan 22 lagu hit, termasuk Setiaku Korbankan, Tua Mengejar Kita, Enggan, Dia, Sahabat, Dari Kaki Tangga Ke Menara dan Teratai Layu di Tasik Madu.
Walaupun usia mungkin mengubah kekuatan vokalnya berbanding zaman kegemilangan, Fauziah piawai menebusnya dengan penghayatan emosi yang mendalam, menjadikan setiap lirik terasa lebih hidup dan menyentuh hati penonton.
Susunan muzik yang matang, ditambah dengan visual LED sinematik di pentas, turut meningkatkan mutu persembahan, memberikan setiap segmen sentuhan cerita yang elegan dan halus.
Penampilan anggun Fauziah dalam empat rekaan hebat pereka Ezuwan Ismail turut mengimbau kenangan era kegemilangannya, membawa penonton kembali ke puncak popularitinya.
Suasana semakin meriah apabila hampir seluruh penonton turut menyanyi bersama, menjadikan Plenary Hall sebagai pertemuan nostalgia antara generasi yang dibesarkan dengan melodi evergreen beliau.
Salah satu detik paling menonjol adalah apabila Fauziah mempersembahkan Enggan, lagu yang diakuinya antara paling mencabar untuk dinyanyikan secara langsung, namun dibawakan dengan penuh keyakinan emosi.
“Masya-Allah, lutut saya bergetar. Lagu ini betul-betul pembunuh (sukar). Penerbit pun tahu dari awal. Ini lagu paling menakutkan di dunia untuk saya nyanyikan,” selorohnya, disambut sorakan peminat.
Malam yang tidak dapat dilupakan itu turut dimeriahkan oleh kemunculan ‘Raja Pop’ Datuk Jamal Abdillah, yang berduet dengan Fauziah menerusi lagu Kehebatan Cinta, disokong oleh artis lain seperti Ziana Zain, Liza Hanim, Rozita Che Wan, Amylea Azizan dan Azah Aziz.
Tanpa bergantung pada gimik berlebihan, konsert ini membuktikan bahawa kekuatan sebenar seorang penghibur terletak pada kemampuan untuk berkongsi emosi dan keikhlasan.
Fauziah Latiff akhirnya menunjukkan bahawa meskipun masa terus berlalu, kenangan dan emosi yang teranyam melalui muziknya akan kekal abadi merentas generasi. — Bernama



