Jawi Hidup Semula Menerusi Novel Fiksyen Nirnama
Jawi Hidup Semula Menerusi Novel Nirnama

KUALA LUMPUR: Tulisan Jawi yang kian terpinggir daripada arus kemodenan hidup semula menerusi novel fiksyen, Nirnama, mengisahkan pengembaraan penuh cabaran seorang pendekar tanpa nama. Mengangkat latar zaman Kesultanan Melaka, penulis Hilal Asyraf Abd Razak menyifatkan Nirnama sebagai medium bagi mengajak masyarakat menguasai Jawi melalui penceritaan lebih santai.

Pada mulanya novel itu diterbitkan dalam tulisan rumi, dan beliau mengambil keputusan untuk turut menghasilkan versi Jawi bagi setiap siri. “Medium untuk masyarakat kita mempraktikkan pembacaan Jawi kini seolah-olah sudah hampir tiada, malah akhbar berbahasa Jawi juga sudah tiada. “Jadi, saya rasa satu perkara yang menarik apabila kita ada novel fiksyen yang tidak terlalu berat seperti karya sastera tradisional atau buku-buku ilmiah,” katanya kepada FMT ketika ditemui di reruainya di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026, baru-baru ini.

Usaha Hilal membuahkan hasil luar biasa apabila naskhah versi Jawi pertama berjaya mencatatkan jualan melebihi 15,000 manakala versi rumi pula melebihi 35,000. Nirnama kini memasuki siri kelima. Menurutnya, judul seterusnya dalam siri yang kini memasuki siri kelima itu menerima sambutan konsisten dengan purata jualan antara 3,000 hingga 7,000 naskhah. Karya terbaharu, ‘Nirnama: Hikayat Pengembaraan Ke Timur’ versi Jawi sudah terjual hampir 2,500 naskhah setakat ini walaupun baru sahaja menemui pembaca pada April.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Di sebalik penulisan yang mengambil inspirasi daripada sejarah Melayu dan cerita rakyat, Hilal memastikan setiap karyanya bertunjangkan ajaran Islam. “Pembaca sangat menghargai nilai kemelayuan dan Islam yang diselitkan. Disebabkan ini karya fiksyen, mereka tidak akan berasa seperti terlalu ‘diceramahkan’ kerana segala pengajaran itu berjalan seiring dengan penceritaan dan diwakili menerusi tindakan serta dialog watak-watak tersebut,” kata anak jati Johor berusia 37 tahun itu.

Melalui karya tersebut, beliau turut menggunakan watak utama bagi menepis naratif negatif. “Saya cuba melawan naratif (negatif) tersebut menerusi watak Nirnama. Saya berharap masyarakat dapat melihat bahawa apabila seseorang itu jujur dengan ajaran Islam, dia akan menjadi manusia yang baik, menolak rasuah, melawan kezaliman, serta melindungi golongan tertindas. “Itulah karakter sebenar yang cuba saya bawa dan saya harap misi ini berjaya,” katanya.

Melangkah setapak lagi, Hilal mendedahkan siri Nirnama bakal diangkat ke layar animasi menerusi kerjasama dengan Wau Animation, studio animasi tempatan yang terkenal menerusi siri hit Ejen Ali, dan dijangka menemui penonton pada 2029.

Sementara itu, pembaca remaja seperti Nur Alya Qistina Na’imran, 17, dan Wan Nur Alya Batrisyia, 15, tertarik dengan naskhah berkenaan kerana penceritaannya sarat dengan mesej positif. “Nirnama mempunyai penulisan yang sangat terperinci. Setiap kali membaca, kita rasa kagum dan memberi semangat untuk menjadi Muslim yang lebih baik,” kata Wan Nur Alya Qistina. Kedua-duanya mampu membaca Jawi dengan lancar dan melihat penerbitan novel dalam tulisan tersebut sebagai sesuatu yang penting untuk memastikan ia terus relevan. “Zaman sekarang sudah jarang orang menggunakan Jawi. Ramai menganggap ia hanya berkaitan agama. Tetapi apabila novel seperti ini diterbitkan dalam tulisan Jawi, ia sangat bagus untuk bacaan kanak-kanak dan tidak akan dianggap ketinggalan zaman,” kata Wan Nur Alya Batrisyia.

Dalam pada itu, bagi Nik Muhammad Aimullah, 33, minatnya terhadap siri Nirnama bermula selepas mengetahui karya fiksyen tersebut bakal diadaptasi menjadi siri animasi. “Saya sebenarnya tak pernah baca Nirnama sebelum ini. Tapi apabila Wau Animation umumkan mereka mahu menghasilkan animasi berdasarkan karya itu, saya mula tertarik untuk mengetahui lebih lanjut,” katanya. Antara faktor utama yang mendorong beliau membaca novel itu ialah kandungan yang mengangkat kisah-kisah Melayu lama, warisan Nusantara serta nilai Islam yang jarang diketengahkan dalam karya popular tempatan.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga