Hari Ibu: Bukan Sekadar Bunga Sehari, Hadir Dalam Hidup Ibu
Hari Ibu: Bukan Sekadar Bunga Sehari, Hadir Dalam Hidup Ibu

Hari Ibu yang jatuh pada Ahad minggu kedua Mei sering menjadi momen yang dinanti-nantikan. Namun, sambutan ini seharusnya lebih daripada sekadar bunga dan ucapan setahun sekali. Realitinya, ramai anak masih gagal menjadi insan yang benar-benar hadir dalam kehidupan ibu mereka. Selepas sehari dua, semuanya kembali seperti biasa. Ibu kembali ke dapur, membasuh dan melipat baju, mengurus rumah serta bermacam lagi tugasan yang tiada noktah.

Ibu: Manusia Biasa Dengan Perasaan

Ramai anak tidak sedar bahawa ibu juga manusia biasa. Mereka penat, takut, dan pernah kecewa. Namun, kebanyakan ibu memilih untuk membisu kerana masyarakat sudah terlalu lama meletakkan mereka sebagai simbol 'wanita kuat' yang kononnya mampu menghadapi apa sahaja. Hakikatnya, ramai ibu menangis sendirian, ketawa tidak berteman. Ada ibu yang bangun seawal subuh menyediakan sarapan sebelum keluar mencari rezeki. Ada ibu tunggal yang memikul tanggungjawab sebagai ayah dan emak pada masa sama. Ada ibu yang menyimpan sakit sendiri kerana tidak mahu anak risau. Malah, ada ibu yang hidup dalam kesunyian walaupun anak-anak berada di sekeliling mereka kerana terlalu sibuk dengan kerja dan kehidupan masing-masing.

Penghargaan Sebenar Bukan Setahun Sekali

Kita sering menghargai ibu hanya apabila usia mereka semakin tua, jatuh sakit atau sudah tiada. Ketika itulah timbul rasa rindu yang tidak mungkin dapat ditebus lagi, malah adakala penyesalan tiada kesudahan. Justeru, Hari Ibu sepatutnya menjadi peringatan penghargaan bukan sekadar ucapan tahunan atau jambangan bunga sehari. Menghargai ibu bermaksud hadir dalam hidup mereka — mendengar cerita, memahami keletihan, dan membantu mereka tanpa perlu diminta. Kadangkala, apa yang wanita itu mahukan bukan hadiah mahal. Mereka cuma mahu anak-anak pulang menjenguk. Mahu ditemani makan atau minum petang. Mahu ditanya 'Mak okay tak hari ini, buat apa atau makan apa hari ini?' Soalan yang nampak kecil tetapi besar maknanya.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Dalam kehidupan hari ini, kita terlalu obses mengejar pencapaian sehingga terlupa siapa yang membantu kita berdiri dari awal. Adakala kita terlupa berkat doa 'orang tua' itulah yang menjadikan siapa kita hari ini. Kita bangga berjawatan besar tetapi lupa menggantikan mesin basuh ibu yang rosak. Kita sanggup bekerja lebih masa tetapi sukar meluangkan sejam berbual dengan wanita yang membesarkan kita. Mungkin itu sebabnya Hari Ibu semakin terasa seperti acara simbolik, hanya meriah di permukaan tetapi kosong dari segi penghayatan.

Buktikan Penghargaan Ketika Ibu Masih Ada

Jika benar kita menghargai ibu, buktikan ketika mereka masih hidup. Bukan hanya di media sosial tetapi melalui sikap, masa dan perhatian yang konsisten. Ibu tidak pernah meminta balasan besar daripada anak-anak. Wanita itu cuma mahu dihargai sebelum terlambat, dan sebagai anak kita seharusnya sedar 'syurga yang bernama ibu' sebenarnya ada di depan mata!

Penulis ialah timbalan pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT. Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga