KUALA LUMPUR, 19 Jun — Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada Jumaat kerana jangkaan berterusan tentang kemungkinan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed) tahun ini terus mendorong mata wang greenback.
Pada jam 6 petang, mata wang tempatan jatuh kepada 4.1340/1395 berbanding greenback daripada 4.1145/1195 pada penutup Khamis.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata prospek kadar faedah AS yang lebih tinggi menyokong greenback, memberi tekanan kepada mata wang Asia, termasuk ringgit.
“Pasaran mata wang (Asia) terus terjejas akibat kebimbangan pengetatan monetari oleh Fed, yang dijangka menaikkan kadar dana persekutuan sebanyak 25 mata asas tahun ini,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup, ringgit rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia susut berbanding yen Jepun kepada 2.5636/5671 daripada 2.5588/5620 pada penutup Khamis dan lemah berbanding pound British kepada 5.4709/4782 daripada 5.4476/4542 sebelumnya. Ia juga merosot berbanding euro kepada 4.7376/7439 daripada 4.7222/7280.
Mata wang tempatan juga rendah berbanding mata wang serantau.
Ia lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.2019/2064 daripada 3.1898/1939 dan merosot berbanding baht Thailand kepada 12.5856/6074 daripada 12.5611/5809 pada penutup Khamis.
Ringgit juga susut berbanding rupiah Indonesia kepada 232.2/232.5 daripada 231.2/231.5 sebelumnya dan mudah berbanding peso Filipina kepada 6.80/6.81 daripada 6.79/6.80. — Bernama



