Ringgit ditutup rendah ekoran jangkaan kenaikan kadar Fed
Ringgit ditutup rendah ekoran jangkaan kenaikan kadar Fed

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan jangkaan berterusan kemungkinan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS pada tahun ini terus mendorong dolar hijau.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Afzanizam Rashid berkata prospek kadar faedah AS yang lebih tinggi menyokong dolar AS, memberi tekanan kepada mata wang Asia termasuk ringgit.

“Pasaran mata wang (Asia) terus mengalami tekanan akibat kebimbangan terhadap pengetatan monetari oleh Fed, di mana ia dijangka menaikkan kadar dana persekutuan sebanyak 25 mata asas tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Pada pukul 6 petang, mata wang tempatan jatuh kepada 4.1340/4.1395 berbanding dolar AS daripada 4.1145/4.1195 pada penutup semalam.

Pada penutup, ringgit rendah berbanding sekumpulan mata wang utama. Ia susut berbanding yen Jepun kepada 2.5636/2.5671 daripada 2.5588/2.5620 pada penutup semalam dan lemah berbanding pound British kepada 5.4709/5.4782 daripada 5.4476/5.4542 sebelumnya.

Ia juga merosot berbanding euro kepada 4.7376/4.7439 daripada 4.7222/4.7280.

Mata wang tempatan juga rendah berbanding mata wang serantau. Ia lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.2019/3.2064 daripada 3.1898/3.1939 dan merosot berbanding baht Thailand kepada 12.5856/12.6074 daripada 12.5611/12.5809 pada penutup semalam.

Ringgit juga susut berbanding rupiah Indonesia kepada 232.2/232.5 daripada 231.2/231.5 sebelumnya dan rendah berbanding peso Filipina kepada 6.80/6.81 daripada 6.79/6.80.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga