KOTA GAZA, 16 Mei — Berpakaian tradisional Palestin, kain putih yang dihiasi sulaman pelbagai warna, puluhan pengantin perempuan tersenyum sambil memegang jambangan merah, berjalan bersama pengantin lelaki melepasi khemah dan bangunan roboh di Kota Gaza.
Dengan alunan lagu popular dari pembesar suara di dataran kota, pasangan yang perkahwinannya tertangguh akibat perang dan perpindahan, duduk di pentas dengan wajah riang. Ribuan orang hadir menyaksikan majlis perkahwinan besar-besaran ini dengan latar bangunan yang musnah akibat serangan Israel sepanjang perang dua tahun yang dahsyat.
Para hadirin bertepuk tangan dan tersenyum ketika kumpulan penari mempersembahkan tarian dabke, tarian tradisional Arab, sementara sorakan wanita bergema di kalangan orang ramai.
"Saya tidak percaya akhirnya saya berkahwin," kata Ali Mosbeh kepada AFP pada awal majlis. "Saya duduk di khemah apabila telefon berdering... Saya tidak percaya. Saya masih terkejut," katanya, mengimbas saat menerima panggilan yang memaklumkan dia terpilih antara 50 pemuda.
Perkahwinan besar-besaran ini adalah antara banyak yang dianjurkan sejak gencatan senjata berkuat kuasa di Gaza pada Oktober lalu. Acara ini dianjurkan dan dibiayai oleh organisasi kemanusiaan Turki, IHH.
Pengantin lelaki berpakaian kemas dengan selendang kuffiyeh tradisional Palestin yang dihiasi logo IHH, manakala jambangan pengantin perempuan dihiasi bendera kecil Turki.
Bagi Mosbeh dan pengantin perempuannya Huda al-Kahlout, kos perkahwinan yang tinggi juga menjadi halangan untuk bernikah. "Saya tidak pernah bayangkan akan berkahwin dalam keadaan begini," katanya.
Teruskan Hidup
Sebahagian besar penduduk Gaza telah dipindahkan sekurang-kurangnya sekali sepanjang perang antara Israel dan Hamas, dengan ratusan ribu masih tinggal di khemah atau tempat perlindungan sementara. Mosbeh berkata dia kini akan berkongsi khemah dengan isterinya sambil berharap mendapat pekerjaan—sesuatu yang hampir mustahil di Gaza.
"Masa depan kami tidak menentu; kami bergantung pada bantuan untuk terus hidup," akui Kahlout, tetapi berkata walaupun "perang, kehilangan dan kematian... Perkahwinan tetap menjadi detik indah bagi kami anak muda."
"Kebanyakan bangunan di sekitar majlis telah musnah dan menjadi runtuhan, dengan syuhada dikebumikan di bawahnya," kata pengantin perempuan lain, Fayqa Abu Zeid. Namun dia menambah: "Kami cuba, walaupun segalanya, untuk mencari kegembiraan dan teruskan hidup."
Sebelum perang, "pengantin baru akan berpindah ke flat dengan perabot baru. Hari ini, kami berpindah ke khemah, jika ada," katanya. Namun, suaminya Mohammed al-Ghossain tetap tersenyum. "Kami sangat gembira. Ini hari paling bahagia dalam hidup kami," katanya. — AFP



