SEPANG, 19 Mei — Pusat Komando Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan bahawa sembilan kapal dari Flotilla Global Sumud (GSF) yang membawa 16 rakyat Malaysia telah dipintas oleh tentera Israel setakat jam 8 malam waktu Malaysia.
Insiden di perairan antarabangsa
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, berkata kapal-kapal tersebut didekati secara agresif oleh pasukan Israel di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus.
“Ketika insiden berlaku, flotilla berada kira-kira 241 batu nautika dari pantai Gaza, di perairan antarabangsa yang diiktiraf di bawah undang-undang maritim antarabangsa seperti yang ditetapkan dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS), dan di luar sekatan mana-mana negara,” katanya dalam sidang media di sini semalam.
Senarai rakyat Malaysia terlibat
Berikut adalah 16 rakyat Malaysia yang berada dalam kapal tersebut:
- Zainal Rashid Ahmad (kapal Amanda)
- Muhamad Muhsin Zaidi (Isobella)
- Mohammad Shazly Mohammad Shees dan Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari (Cactus)
- S. Patmanathan, Muhammad Amirul Afif Mohd Azhar dan Dr Syakirin Muhamed Senin (Ferluto)
- Abdul Samad Selamat dan Naufa Azhari (Bianca ITA)
- Mohammad Farizzal Rostam dan Muhammad Zaid Abdul Karim (Gotico)
- Norazman Ishak (Abodes)
- Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Shamsir Mohd Isa dan Osman Zolkifli (Themis)
- Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman (Josef)
Rayuan kepada kerajaan Malaysia
Sani Araby berkata SNCC telah memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan meminta campur tangan kerajaan Malaysia untuk mendesak Kesatuan Eropah, Turkiye, Sepanyol dan pihak lain mengambil tindakan serta mengecam serangan ke atas misi kemanusiaan itu.
Ancaman 'penjara terapung'
Sementara itu, beliau berkata tahanan GSF dijangka ditempatkan di sebuah 'penjara terapung' sebelum dibawa ke pelabuhan Ashdod untuk dokumentasi dan deportasi.
“Kapal penjara itu adalah vesel tentera laut yang mampu menampung ramai orang dan digunakan sebagai kemudahan tahanan,” katanya.
Beliau menambah bahawa penggunaan vesel sebegitu adalah taktik Israel untuk menahan aktivis GSF untuk tempoh lebih lama dan mengelak tekanan undang-undang antarabangsa.
“Saya jangka mereka akan dibawa ke vesel tahanan. Jika mereka dibawa terus ke Ashdod, mereka akan tertakluk kepada undang-undang baru yang memerlukan tahanan dibebaskan dalam tempoh 24 jam,” katanya. — Bernama



