Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengarahkan sebuah kuari batu di Kampung Padang, Mukim Sungai Kechil, Bandar Baharu untuk menghentikan operasi berikutan aduan pencemaran air sungai. Arahan itu dikeluarkan semalam selepas siasatan mendapati aduan mengenai air sungai menjadi keruh akibat aktiviti kuari adalah berasas.
Siasatan JAS sahkan pencemaran
Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab, dalam kenyataan hari ini berkata siasatan di lokasi mendapati kawalan mitigasi terhadap air larian permukaan di kawasan kuari tidak dijalankan mengikut pelan mitigasi yang diluluskan. "Air larian permukaan tidak memasuki longkang perimeter dan kolam mendapan sebaliknya terus memasuki sungai berdekatan, malah air daripada basuhan tayar lori juga terus memasuki sungai berdekatan menyebabkan air menjadi keruh," katanya.
Pelanggaran syarat EIA
Beliau berkata arahan di lapangan sudah dikeluarkan selepas kuari tersebut didapati melanggar beberapa syarat kelulusan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA). Tindakan akan disusuli dengan Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974. "Sekiranya gagal mematuhi notis dalam tempoh yang ditetapkan, penggerak projek akan diambil tindakan lanjut di bawah Seksyen 34A(7) AKAS 1974 yang boleh membawa penalti antara RM100,000 hingga RM1 juta dan mandatori penjara hingga lima tahun," katanya.



