Waris mangsa Landasan Maut jejak semula laluan kereta api Siam-Burma
Waris mangsa Landasan Maut jejak semula laluan kereta api

KUALA LUMPUR: S Govindasamy hanya berusia beberapa bulan apabila bapanya dibawa pergi tentera Jepun pada 1941. Lebih lapan dekad kemudian, lelaki berusia 86 tahun itu masih tidak tahu di mana jasad bapanya disemadikan. Malah, beliau tidak pernah berpeluang menatap wajah insan yang meninggalkannya terlalu awal, bukan kerana pilihan, tetapi kerana kekejaman perang.

“Saya tidak pernah melihat wajah ayah saya,” katanya ditemui di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur lama hari ini sempena rombongan anjuran Death Railway Interest Group Malaysia ke Kanchanaburi, Thailand. Perjalanan simbolik itu sebagai tanda memperingati ahli keluarga mereka termasuk bapa Govindasamy yang dibawa pergi ketika penjajahan Jepun lebih 80 tahun lalu.

Kumpulan Death Railway Interest Group Malaysia bersama keluarga mangsa, turut disertai Setiausaha Pertama Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur, Rajesh H Maniyil. Rombongan terdiri daripada anak, cucu dan cicit mangsa dari Malaysia serta Singapura itu menaiki kereta api pagi ini untuk perjalanan selama 24 jam, menjejaki semula laluan yang pernah dilalui buruh paksa yang dihantar membina landasan berkenaan ketika Perang Dunia Kedua.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Govindasamy berkata, beliau menjadi yatim pada usia muda sebelum dibesarkan oleh saudara-mara selepas kehilangan bapanya. Walaupun tiada kenangan bersama bapanya, penyertaan dalam upacara memperingati mangsa di Thailand setiap tahun sedikit sebanyak memberi ketenangan kepadanya. Katanya, doa dan penghormatan yang diberikan kepada mangsa membuatkan beliau berasa lebih dekat dengan bapanya.

Perjalanan tahunan penting untuk memastikan penderitaan tidak dilupakan

Ketua Death Railway Interest Group Malaysia, P Chandrasekaran, berkata rombongan itu juga akan melawat sebuah tanah perkuburan di Kanchanaburi yang dipercayai menjadi tempat pengumpulan dan pengebumian semula mayat ramai buruh Asia selepas perang tamat. Chandrasekaran berkata perjalanan tahunan itu penting bagi memastikan penderitaan buruh Asia yang terkorban ketika pembinaan landasan tersebut tidak terus dilupakan.

Katanya, kisah tawanan perang Bersekutu lebih diketahui umum kerana wujudnya tugu peringatan, tanah perkuburan dan upacara rasmi memperingati mereka setiap tahun. “Kami tidak mempertikaikannya kerana itu memang wajar dilakukan. Tetapi di mana orang kita? Di mana mangsa Asia? Kita tahu lebih 100,000 orang terkorban, tetapi tiada siapa tahu di mana mereka berada,” katanya.

Chandrasekaran berkata, anggaran menunjukkan sehingga 300,000 buruh Asia mungkin dibawa untuk bekerja di landasan itu, namun jumlah sebenar masih dipertikaikan susulan ketiadaan rekod rasmi. Kumpulan itu sebelum ini turut menyerahkan surat terbuka kepada perdana menteri Malaysia dan India, menggesa pengiktirafan rasmi diberikan kepada mangsa.

Chandrasekaran berkata, kerajaan Malaysia, India dan Thailand perlu membina sebuah tugu peringatan serta pusat maklumat khusus untuk mangsa Asia, sepertimana tapak peringatan yang dibina bagi tawanan perang Barat.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga