Pelajar antarabangsa: Adakah kita mengukur dengan ukuran yang salah?
Pelajar antarabangsa: Ukuran yang salah?

Seorang profesor di Universiti Tokyo sedang membentangkan fakta tentang universitinya kepada sekumpulan pelawat pagi itu. Bilik seminarnya kecil, slaidnya ringkas, dan tiada video korporat berlatarkan sakura. Di samping penerangan tentang penyelidikan, ada satu slaid bertajuk 'University of Tokyo at a glance'. Angkanya sederhana: 28,027 pelajar, 4,604 daripadanya pelajar antarabangsa, dan 4,570 staf akademik.

Kemudian datang baris yang membuat saya berhenti mencatat. Nisbah prasiswazah kepada pascasiswazah: 50–50. Daripada pelajar antarabangsa pula, sembilan daripada sepuluh berada di peringkat pascasiswazah. Dan di penghujungnya, satu angka yang saya sangka akan disembunyikan iaitu staf antarabangsa hanya 8%.

Profesor itu menyebutnya dengan nada yang sama seperti angka-angka lain. Tiada pembelaan, tiada janji penambahbaikan. Ia dilaporkan sebagaimana suhu bilik dilaporkan iaitu sebagai keadaan, bukan sebagai kedudukan yang perlu dipertahankan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Dua perbualan, dua ukuran berbeza

Penulis mendengar sambil telefon di tangan, membaca berita-berita yang tular di tanah air. Antara yang hangat adalah isu pelajar antarabangsa mengambil tempat pelajar tempatan di universiti awam. Yang mengganggu saya bukan perdebatan itu. Tetapi menyedari bahawa dua perbualan ini, satu di bilik seminar di Tokyo, satu lagi di ruang siber Malaysia, sedang membicarakan tentang perkara sama menggunakan dua ukuran yang berbeza sama sekali.

Jepun bercakap tentang komposisi. Kita bertengkar tentang bilangan.

Fakta yang menutup pintu kepada isu lebih utama

Bermula dengan pernyataan yang paling mudah disemak. Dakwaan bahawa pelajar asing merampas tempat anak tempatan tidak boleh bertahan apabila diuji dengan data. Di peringkat prasiswazah, pelajar antarabangsa mewakili hanya 3.44% daripada keseluruhan enrolmen, dan kemasukan mereka dilaksanakan berasaskan prinsip 'over and above'. Ini bermakna mereka tidak mengambil tempat yang diperuntukkan kepada calon tempatan melalui sistem UPUOnline.

Bagi universiti awam secara keseluruhan, angkanya 56,565 orang daripada 634,706 pelajar, iaitu 8.9%. Kementerian Pendidikan Tinggi sendiri menegaskan bahawa menggabungkan angka prasiswazah dan pascasiswazah bagi membentuk persepsi merampas tempat merupakan gambaran yang tidak tepat dan mengelirukan masyarakat.

Dengan itu, perkara ini selesai. Dakwaan tersebut gagal secara empirikal, dan tidak perlu diperpanjangkan. Nokhtah.

Tetapi kegelisahan yang disuarakan tetap sah. Di sinilah penulis ada perbezaan dengan pandangan rasmi. Menolak dakwaan seorang ahli politik tidak sama dengan menolak perasaan ribuan keluarga. Dan perasaan itu berasas. Persaingan untuk masuk ke program seperti perubatan, kejuruteraan, undang-undang dan perakaunan semakin sengit, sehingga ribuan pelajar yang memenuhi syarat minimum tidak mendapat tawaran. Inilah persoalan yang lebih berkait dengan kekangan kapasiti program berbanding kemasukan pelajar antarabangsa.

Seorang ibu bapa yang anaknya memperoleh keputusan cemerlang namun tidak mendapat tempat, tidaklah terlalu hirau membaca jadual enrolmen. Dia lebih kepada mencari wajah untuk dipersalahkan. Politik menjadi wajah itu, kerana wajah lebih mudah ditunjuk daripada struktur. Maka kesilapan ahli politik itu ialah kesilapan fakta. Tetapi kesilapan kita ahli akademik dan pentadbir universiti ialah kesilapan yang lebih halus. Kita menjawab soalan yang ditanya dan berhenti di situ.

Soalan yang sepatutnya

Persoalan sebenar bukan berapa ramai, tetapi siapa dan untuk apa. Maka, kembali kepada slaid di Tokyo itu. Sembilan daripada sepuluh pelajar antarabangsa mereka berada di peringkat pascasiswazah. Ertinya universiti itu menarik orang asing untuk membuat penyelidikan. Struktur pelajarnya 50–50 antara prasiswazah dan pascasiswazah, dan nisbah pelajar kepada staf kira-kira enam kepada satu. Satu nisbah yang membolehkan penyeliaan bermakna, bukan penyeliaan di atas kertas.

Sekarang lihat sasaran kita. Malaysia menyasarkan kehadiran 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2030 sebagai sebahagian daripada aspirasi menjadi hab pendidikan tinggi serantau. Perhatikan bentuk sasaran itu. Ia sasaran kuantiti. Tiada sasaran lebih khusus tentang komposisi. Juga, adakah terdapat penekanan lebih khusus terhadap nisbah pascasiswazah atau sasaran nisbah penyeliaan? Di sinilah ruang kelemahan yang boleh diperbaiki.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga

Selagi kejayaan pengantarabangsaan diukur dengan bilangan kepala, kita akan sentiasa terdedah kepada politik bilangan. Sesiapa sahaja boleh berdiri, menyebut satu angka besar, dan menimbulkan keresahan kerana kita sendiri telah mengajar orang ramai bahawa angka besar itulah kejayaannya.

Bagaimana pula dengan universiti penyelidikan?

Di sini satu perkara penting pasti dibangkitkan. Purata nasional 8.9% itu memang tidak menunjukkan keadaan di luar kawalan. Tetapi di lima universiti penyelidikan UM, USM, UKM, UPM dan UTM nisbah pelajar antarabangsa memang lebih tinggi daripada purata tersebut. Menurut laporan KPT, Universiti Malaya misalnya mencatatkan sekitar 25% pelajar antarabangsa, dengan majoriti di peringkat pascasiswazah.

Tetapi angka itu sepatutnya menyokong hujah yang berlawanan. Kepadatan di universiti penyelidikan bukan tanda bahaya tetapi itu justeru tanda sistem berfungsi mengikut mandatnya, dengan syarat majoriti mereka berada di peringkat pascasiswazah dan menyumbang kepada penyelidikan. Persoalannya bukan mengapa mereka ramai di sana. Persoalannya ialah sama ada kita mempunyai nisbah penyeliaan yang membolehkan kehadiran mereka bermakna. Itu soalan yang belum kita jawab, dan belum pun kita tanya dengan bersungguh-sungguh.

Ubah cara kita mengukur

Penulisan ini bukan untuk mencadangkan agar Malaysia menjadi seperti Jepun. Perbandingan sedemikian dilihat malas dan kurang jujur. Jepun mempunyai penduduk muda yang sedang susut dan mereka tidak menghadapi persaingan tempat kerana tempat itu sendiri semakin kosong. Malaysia pula menghadapi keadaan yang bertentangan sepenuhnya.

Jadi, slaid itu bukan model. Tetapi ia adalah cermin. Apa yang ingin penulis bawa pulang bukanlah angka mereka, tetapi cara mereka mengukur diri dan keberanian melaporkan kekurangan sendiri, seperti angka lapan peratus staf antarabangsa itu, tanpa terus melompat kepada pembelaan.

Selagi pengantarabangsaan diukur dengan bilangan, hujah perkauman akan sentiasa punya ruang kerana kita sendiri yang menyediakan ruang itu. Ubah ukurannya kepada komposisi, nisbah penyeliaan dan sumbangan ilmu, maka ruang itu tertutup dengan sendirinya. Dan kita boleh berhenti mempertahankan diri, lalu mula bercakap tentang universiti yang bagaimana yang sebenarnya sedang kita bina.

Penulis ialah felo pelawat Jabatan Teknologi dan Pengurusan Inovasi, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Tokyo. Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.