Warga emas 84 tahun maut, isteri cedera dalam rompakan di Ayer Tawar
Warga emas maut, isteri cedera dalam rompakan di Ayer Tawar

IPOH, 8 Mei — Seorang lelaki warga emas maut manakala isterinya cedera selepas diserang dengan objek keras dalam satu kejadian rompakan di sebuah rumah di Jalan Melayu, Ayer Tawar berhampiran Sitiawan, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Hasbullah Abd Rahman berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 5.30 pagi semalam memaklumkan mengenai kejadian rompakan tersebut.

“Pasangan warga emas itu telah diserang oleh seorang lelaki, menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah selepas dipukul dengan objek keras.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Suspek melarikan diri selepas mengambil dua telefon bimbit dan dompet mangsa. Jiran-jiran yang mendengar kekecohan datang membantu mangsa dan membawa mereka ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasbullah berkata, mangsa lelaki berusia 84 tahun itu kemudiannya disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan, dan bedah siasat akan dijalankan untuk menentukan punca kematian.

Beliau berkata, risikan dan siasatan polis membawa kepada penangkapan seorang suspek lelaki berusia 27 tahun, yang mempunyai tujuh rekod jenayah lampau, kira-kira jam 7.45 malam semalam.

Suspek telah direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 dan 394 Kanun Keseksaan.

“Saksi atau orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi bilik gerakan ibu pejabat polis daerah Manjung di talian 05-688 6222 atau WhatsApp di 017-682 8005 untuk membantu siasatan,” katanya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga