KOTA KINABALU: Seorang wanita ditemui maut selepas dipercayai jatuh dari tingkat 17 sebuah kondominium di Jalan 18, Kota Kinabalu petang semalam.
Kejadian jam 6.30 petang
Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa yang dipercayai berusia 50-an ditemui terbaring di dasar bangunan oleh kakitangan kondominium, menurut laporan Harian Metro.
Difahamkan, impak jatuhan itu sangat kuat sehingga sebahagian badan mangsa terpisah dan mendarat di bahagian lain bangunan, dipercayai terkena panel kaca semasa jatuh.
Selain itu, sebuah motosikal yang diletakkan berhampiran turut rosak akibat terkena badan mangsa.
Siasatan polis
Sumber berkata, wanita itu dipercayai jatuh dari tingkat 17, tetapi punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
Anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu dan Balai Polis Kota Kinabalu telah dikerahkan ke tempat kejadian selepas menerima laporan.
Pegawai forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah turut hadir untuk membantu siasatan.
Mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat.



