KUALA TERENGGANU: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun maut manakala dua yang lain cedera dalam kemalangan dua kenderaan yang berlaku di sini semalam.
Mangsa, Wah Han Keong, yang merupakan penumpang hadapan sebuah van, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dalam nahas yang berlaku kira-kira pukul 3.36 petang.
Ketua Polis Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata pihak polis menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada pukul 4.12 petang.
Menurut laporan Sinar Harian, siasatan awal mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah Volkswagen Golf GTI yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 43 tahun dan sebuah Nissan Vanette.
“Hasil siasatan mendapati kereta tersebut dalam perjalanan dari bandar Kuala Terengganu menuju ke Muzium Losong.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar sebatang tiang milik Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, impak perlanggaran itu menyebabkan kereta tersebut terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh van yang dalam perjalanan dari Taman Manir menuju ke bandar Kuala Terengganu.
“Tiang JKR yang dilanggar turut tumbang dan menembusi van tersebut, lalu mengenai penumpang hadapan.
“Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



