Kementerian Pertahanan peruntuk RM630,000 tingkat usahawan veteran ATM
Kementerian Pertahanan peruntuk RM630,000 untuk usahawan veteran ATM

Kementerian Pertahanan, melalui Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat), telah memperuntukkan sebanyak RM630,000 untuk membantu 180 peniaga kecil dan usahawan mikro dalam kalangan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyertai Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) Kelas Master.

Program perintis tingkat daya saing usahawan veteran

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata program perintis ini memberi tumpuan kepada meningkatkan jualan, akses pasaran, produktiviti dan penjenamaan bagi mengukuhkan daya saing usahawan veteran dalam pasaran semasa, termasuk penggunaan teknologi digital.

Beliau berkata inisiatif sulung ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara kementeriannya dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), menerusi Perhebat dan Institut Keusahawanan Nasional (INSKEN), bagi menyatukan usaha memperkasa usahawan veteran.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Untuk fasa awal, kami menyasarkan 180 usahawan veteran ATM di Melaka, Selangor dan Negeri Sembilan menyertai kelas master keusahawanan INSKEN, pada kos RM3,500 setiap peserta, sebelum diperluas ke seluruh negara.

“Inisiatif ini selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI dan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), yang mana bakal pesara dan veteran ATM akan dibangunkan sebagai pemacu ekonomi. Oleh itu, pendedahan dan latihan yang disediakan mestilah relevan, berdaya saing dan boleh diaplikasikan secara berkesan dalam pasaran yang lebih luas,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Perhebat dan INSKEN di sini malam tadi.

Kerjasama strategik perluas akses veteran

Adly berkata usaha kerjasama ini bertujuan memetakan kemajuan kementerian dan agensinya secara keseluruhan, terutamanya dalam memperluas akses veteran kepada peluang reskilling dan upskilling, insentif keusahawanan dan program padanan perniagaan.

Beliau berkata skop kerjasama juga merangkumi pembangunan program keusahawanan berimpak tinggi berdasarkan modul dan amalan perniagaan terkini, serta penyelidikan dan pembangunan serta perkongsian data strategik bagi mengukuhkan kapasiti keusahawanan veteran ATM.

Peserta program PUVET ATM Kelas Master akan dibekalkan dengan pengetahuan perniagaan merangkumi pemasaran, operasi, kemahiran digital, kewangan dan pentadbiran, katanya, sambil menambah mereka juga akan menerima bimbingan intensif satu lawan satu daripada pakar industri bertauliah selama tiga bulan, serta pemantauan strategik prestasi jualan mereka.

Beliau berkata setiap tahun, sekurang-kurangnya 5,000 anggota menamatkan perkhidmatan, dengan hampir 70 peratus menjadi usahawan.

Sementara itu, Adly berkata laporan suku pertama Pelan Transformasi Perhebat menunjukkan sebanyak 718 peluang pekerjaan diwujudkan, dengan 449 veteran berjaya mendapatkan pekerjaan dalam sektor aeroangkasa, automotif, logistik dan perkhidmatan, dengan gaji antara RM2,500 hingga RM5,000.

“Setakat ini, 313 veteran ATM telah mendapat manfaat daripada Geran Sokongan Pemerkasaan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB), melalui kerjasama Perhebat dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Majlis Amanah Rakyat di bawah inisiatif PUVET ATM, berjumlah RM1.6 juta di seluruh negara,” tambahnya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga