PPC perketat kawalan kesihatan di SPCT berikutan kebimbangan Hantavirus
PPC perketat kawalan kesihatan di SPCT berikutan Hantavirus

GEORGE TOWN, 13 Mei — Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) telah memperketatkan langkah-langkah pencegahan dan pengawasan kesihatan di Terminal Kapal Pesiar Swettenham Pier (SPCT) berikutan laporan antarabangsa mengenai sekumpulan kes Hantavirus yang dikaitkan dengan sebuah kapal pesiar.

Pengerusi PPC, Datuk Yeoh Soon Hin, berkata walaupun tiada jangkitan Hantavirus dilaporkan di Malaysia setakat ini, suruhanjaya itu mengambil serius perkara tersebut bagi melindungi penumpang, anak kapal, dan komuniti setempat dengan memperkukuh pemeriksaan sanitasi kapal dan pemantauan serangan tikus di dalam terminal.

“Langkah-langkah ini dilaksanakan mengikut Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR 2005) dan dengan kerjasama rapat Kementerian Kesihatan (KKM) serta agensi berkaitan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Penekanan diberikan kepada pengesanan awal sebarang penunjuk risiko kesihatan supaya tindakan segera dapat diambil, dan kemudahan kesihatan terminal bersedia sedia untuk mengendalikan sebarang kes yang disyaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yeoh berkata aktiviti pengawasan penyakit berjangkit telah dipergiatkan, termasuk pengawasan berasaskan peristiwa, untuk mengesan sebarang kejadian luar biasa dengan pantas.

Beliau berkata kerjasama rentas agensi dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan pihak berkuasa tempatan telah diperkukuh untuk mengekalkan kawalan vektor dan kebersihan alam sekitar.

Sementara itu, beliau juga menasihati semua penumpang dan anak kapal untuk mengambil langkah pencegahan, termasuk mengelakkan sentuhan dengan tikus atau najisnya, memakai topeng dan sarung tangan semasa membersihkan kawasan tercemar.

Beliau juga menasihati mereka untuk mendapatkan rawatan perubatan segera jika mengalami gejala seperti demam, sakit otot, batuk, atau sesak nafas selepas berada di persekitaran yang berpotensi terdedah.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata Malaysia bersedia sepenuhnya menghadapi ancaman jangkitan Hantavirus, walaupun tiada kes membabitkan rakyat Malaysia dilaporkan setakat ini.

Media antarabangsa melaporkan bahawa negara-negara Eropah memperketatkan pemantauan dan langkah kuarantin berikutan wabak Hantavirus di atas kapal pesiar berbendera Belanda, MV Hondius. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga