KUALA TERENGGANU, 12 Julai — Seorang peserta wanita program Superbike Fighter 2.0 2026 maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya terbabas di Jalan Jambatan Kuala Ibai, berhampiran sini semalam.
Mangsa hilang kawalan di selekoh
Ketua Polis Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata, pihak polis menerima laporan awam mengenai kemalangan maut membabitkan sebuah motosikal Aprilia kira-kira jam 6.45 petang.
Hasil siasatan mendapati mangsa yang dalam perjalanan dari Gong Badak, Kuala Nerus menuju ke Dungun, hilang kawalan ke atas motosikalnya ketika melalui selekoh dan merempuh pembahagi jalan.
Mangsa berusia 40 tahun
Mangsa yang berusia 40 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami dalam nahas tersebut.
“Mangsa yang berasal dari Bandar Baru Salak Tinggi, Selangor, dipercayai dalam perjalanan pulang ke penginapan homestaynya di Dungun selepas menghadiri acara Superbike Fighter 2.0 2026 yang diadakan di Gong Badak,” kata Azli dalam satu kenyataan semalam.
Mayat dihantar ke HSNZ
Beliau menambah, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat. — Bernama



