KUALA LUMPUR, 8 Mei — Operasi Pembenihan Awan (OPA) Siri 5 dan 6 akan dilaksanakan di Perlis dan Kedah masing-masing dari 10 hingga 12 Mei dan 17 hingga 19 Mei, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.
Beliau berkata operasi itu dijalankan sebagai langkah proaktif untuk meningkatkan taburan hujan di kawasan tadahan empangan utama.
“Operasi ini akan memberi tumpuan kepada kawasan tadahan Empangan Timah Tasoh di Perlis, serta Empangan Pedu, Ahning, Muda dan Beris di Kedah, bagi menaikkan paras air di empangan-empangan yang kini berada pada tahap waspada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Arthur berkata OPA akan dilaksanakan berdasarkan analisis meteorologi yang dijalankan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), dengan mengambil kira faktor seperti kelembapan udara, kestabilan atmosfera dan corak pergerakan angin bagi memastikan keberkesanan operasi.
Beliau berkata kawasan tersebut dipilih kerana kehadiran awan hujan yang berpotensi untuk pembenihan awan.
Arthur menambah bahawa pelaksanaan OPA melibatkan kerjasama strategik antara MetMalaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Tentera Udara Diraja Malaysia. — Bernama



