Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) mengesahkan kes pertama kematian akibat strok haba di negeri itu pada tahun ini membabitkan seorang lelaki berusia 42 tahun. Mangsa dilaporkan meninggal dunia selepas menyertai acara larian sejauh 30 kilometer di George Town, Pulau Pinang.
Kronologi kejadian
Menurut kenyataan JKNPP yang dipetik daripada Bernama, mangsa menyertai acara larian yang bermula pada 6.30 pagi, 25 April lalu. Namun, dia dilaporkan pengsan berhampiran garisan penamat dan segera diberikan rawatan kecemasan di lokasi kejadian. Selepas itu, mangsa dikejarkan ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Pulau Pinang (HPP) dalam keadaan kritikal dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
Malangnya, mangsa disahkan meninggal dunia pada 2.08 pagi, 26 April. Punca kematian disahkan akibat strok haba dengan komplikasi rhabdomyolysis dan kegagalan pelbagai organ.
Nasihat kepada orang ramai
Susulan kejadian itu, JKNPP menasihatkan orang ramai yang ingin melakukan aktiviti luar atau sukan lasak supaya sentiasa peka dengan keadaan cuaca semasa dan tahap kesihatan diri. Antara langkah pencegahan yang disarankan termasuk:
- Memastikan hidrasi badan yang mencukupi dengan minum air kosong dengan kerap.
- Segera menghentikan aktiviti sekiranya mengalami tanda-tanda awal kelesuan haba seperti pening, mual atau kekejangan otot.
- Mengelakkan pendedahan berpanjangan di luar ketika cuaca panas.
- Mengurangkan aktiviti fizikal lasak pada waktu cuaca panas.
- Menggunakan pelindung diri seperti topi atau payung serta memakai pakaian yang ringan.
- Memberi perhatian kepada golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang menghidap penyakit kronik.
- Mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala berkaitan haba.
Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas di laman sesawang MetMalaysia di https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/.



