Kerajaan Chile mengisytiharkan darurat bencana di wilayah utara pada Selasa selepas hujan lebat menyebabkan banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan gurun, lapor Anadolu Ajansi. Hujan turut menjejaskan ribuan penduduk, manakala hampir 100,000 orang terputus hubungan akibat jalan raya terhalang dan air sungai melimpah.
Presiden umum darurat bencana
Presiden Jose Antonio Kast mengumumkan keputusan itu selepas penilaian kecemasan Kabinet ketika cuaca buruk terus menyebabkan kerosakan meluas. Darurat bencana itu meliputi seluruh Wilayah Coquimbo dan Huasco di Atacama yang bersempadanan dengannya, iaitu kawasan amat jarang dilanda hujan lebat.
“Disebabkan keadaan semakin buruk, saya mengarahkan darurat berperlembagaan diaktifkan bagi menghadapi bencana awam ini. Semua sumber material dan kewangan disediakan untuk menangani kecemasan ini,” kata Kast kepada pemberita.
Langkah darurat dan kerosakan
Langkah itu memberi kuasa lebih luas kepada kerajaan untuk mengerahkan anggota tentera, mengehadkan pergerakan, menyelaras operasi bantuan bencana dan mempercepat penyaluran bantuan kewangan kepada komuniti terjejas.
Laporan Perkhidmatan Pencegahan dan Tindak Balas Bencana Kebangsaan menunjukkan ribut yang bermula 15 Julai itu menyebabkan kerosakan teruk di beberapa wilayah. Sekurang-kurangnya lima kematian disahkan, manakala empat dilaporkan hilang dan lebih 99,000 penduduk masih terputus perkhidmatan asas akibat jambatan musnah serta lebuh raya terhalang. Lebih 2,200 penduduk pula terpaksa dipindahkan.
Lebih 1,100 rumah musnah atau mengalami kerosakan, manakala kira-kira 150,000 penduduk di seluruh negara terputus bekalan elektrik, selepas talian kuasa tumbang dan tanah runtuh menjejaskan rangkaian utiliti serta bekalan air minuman.
Hujan luar biasa dan ekstrem
Pakar meteorologi menyifatkan cuaca itu luar biasa. Di Coquimbo, taburan hujan melebihi 200mm di kawasan seperti Cerro Tololo, dengan hujan dalam tempoh sejam menyamai purata hujan bulanan yang lazim diterima kawasan gurun. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Maximo Pavez, menyifatkannya “hujan luar biasa dan ekstrem” yang belum pernah berlaku sejak kebelakangan ini.
Kesan ribut turut dirasai di kawasan pantai apabila ombak besar dan angin melebihi 100km sejam menyebabkan pihak berkuasa pelabuhan mengehadkan operasi perkapalan dan perikanan di puluhan terminal maritim sebagai langkah berjaga-jaga.



