ALOR SETAR, 9 Mei — Hujan lebat selama dua jam menyebabkan banjir di beberapa kawasan di daerah Bandar Baharu malam tadi.
Jurucakap sekretariat jawatankuasa pengurusan bencana daerah Bandar Baharu, Lt (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, 17 rumah terjejas akibat banjir tersebut yang bermula sekitar jam 11 malam. Kawasan yang terjejas termasuk mukim Sungai Batu, Selama, Bagan Samak dan Serdang.
“Sebanyak 12 rumah terjejas di Kampung Sungai Tengas, dua di Kampung Air Itam Dalam dan masing-masing satu di Kampung Cherok Meranti, Kampung Paya Salak dan Kampung Batu Hampar,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Beliau menambah bahawa tujuh keluarga kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan KEDA Sungai Tengas.
Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa paras air di Sungai Tengas masih meningkat, manakala paras air di Sungai Air Itam Dalam dan Kampung Cherok Meranti menunjukkan penurunan.
Paras air Sungai Terunsing dan Sungai Terap Dalam berada pada tahap bahaya, manakala paras air Sungai Punti masih normal, tambahnya. — Bernama



