KOTA BHARU, 12 Julai — Seorang anggota polis maut selepas tercampak keluar dari kereta yang dipandunya apabila kenderaan itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas keluar dari jalan raya di Kilometer 30 Jalan Persekutuan Pasir Puteh-Kota Bharu berhampiran simpang Kampung Banir Belikong di Pasir Puteh malam tadi.
Mangsa Anggota Polis dari IPD Setiu
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Saari Yaacob berkata, dalam kejadian jam 11.50 malam itu, mangsa berusia 28 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, Terengganu, dipercayai dalam perjalanan pulang ke Pasir Puteh dari Kota Bharu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati Perodua Kelisa yang dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbabas keluar dari jalan raya sebaik tiba di lokasi kejadian.
Mangsa Alami Kecederaan Kepala Parah
“Akibat kemalangan itu, mangsa tercampak keluar dari kenderaan dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Saari berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk menentukan punca kemalangan.
Orang Ramai Diminta Bantu Siasatan
Beliau menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat trafik daerah Pasir Puteh, Inspektor Abdul Munir Mohd Fauzi di talian 013-9872579 atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. — Bernama



