Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, hari ini menegaskan komitmen negaranya untuk terus memperkukuh keupayaan pertahanan dalam situasi dunia yang semakin tidak menentu. Beliau menyampaikan peralatan ketenteraan baharu, termasuk enam jet pejuang Rafale buatan Perancis, kepada Tentera Udara Indonesia dalam satu majlis di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta.
Pertahanan sebagai prasyarat kestabilan
Prabowo, yang juga seorang jeneral tentera bersara, menekankan bahawa Indonesia tidak mempunyai kepentingan lain selain melindungi wilayahnya. “Kita memerhatikan landskap geopolitik global yang penuh dengan ketidakpastian, dan kita sedar bahawa pertahanan adalah prasyarat utama untuk kestabilan,” katanya kepada pemberita.
Beliau turut memeriksa peralatan pertahanan yang baru diperoleh, termasuk empat pesawat Dassault Falcon 8X dan sebuah pesawat pengangkut Airbus A400M Atlas, menurut kenyataan dari Istana Presiden.
Perjanjian bernilai AS$8.1 bilion
Jakarta menandatangani perjanjian bernilai AS$8.1 bilion (kira-kira RM23.02 bilion) pada tahun 2022, ketika Prabowo menjawat sebagai Menteri Pertahanan, untuk membeli 42 jet pejuang Rafale buatan Perancis. Setakat ini, enam jet telah diterima – tiga pada Januari dan tiga lagi hari ini, kata jurucakap Kementerian Pertahanan, Rico Ricardo Sirait.
“Kerajaan melihat pengukuhan peralatan pertahanan bukan sekadar pembelian platform tempur, tetapi sebagai pelaburan strategik untuk menjaga kedaulatan, maruah negara, dan kesiapsiagaan pertahanan,” kata Rico.
Usaha memodenkan aset tentera
Prabowo, yang mula memegang tampuk pemerintahan pada 2024, giat berusaha memodenkan aset tentera Indonesia yang semakin tua. Beliau bertemu Presiden Perancis, Emmanuel Macron, di Paris bulan lalu bagi membincangkan kerjasama strategik, termasuk perolehan peralatan pertahanan dan pengukuhan industri pertahanan.
Seorang penganalisis keselamatan memberitahu AFP hari ini bahawa Indonesia tidak mungkin menarik diri daripada kontrak pembelian Rafale walaupun tekanan belanjawan semakin meningkat dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Cabaran ekonomi
Ekonomi terbesar di Asia Tenggara ini adalah pengimport minyak bersih dan berdepan tekanan akibat kenaikan harga minyak mentah berikutan perang di Timur Tengah, walaupun kerajaan bertegas mengekalkan harga bahan api bersubsidi.
“Persoalan seterusnya adalah sama ada simpanan kecemasan kerajaan akan digunakan dalam proses perolehan ini,” kata Christian Guntur Lebang, penyelidik dari badan pemikir LAB 45. “Memandangkan keadaan kewangan negara yang agak kucar-kacir, sudah tentu ia tidak bijak.”



