KUALA LUMPUR, 18 Jun — Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan dua pesawat tempur ringan FA-50M yang pertama dijadualkan tiba di Malaysia pada bulan Oktober.
Penghantaran secara berperingkat
Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris berkata baki pesawat akan dihantar secara berperingkat sehingga Mac 2028, lapor Kosmo! Online hari ini.
Beliau berkata program perolehan 18 buah pesawat itu berjalan mengikut jadual.
“Kami telah menyusun semula Skuadron No. 15 dan memindahkannya ke Pangkalan Udara Kuantan, yang akan menjadi pusat operasi utama bagi pesawat ini.
“Kerja-kerja menaik taraf di pangkalan kini berada di fasa akhir dan dijangka siap sepenuhnya pada Julai, manakala pengisian anggota skuadron telah mencapai 90 peratus,” katanya.
Latihan intensif di Korea Selatan
Muhamad Norazlan berkata kumpulan perintis telah dihantar ke Korea Selatan untuk latihan intensif sejak Oktober tahun lepas bagi memastikan operasi lancar sebaik pesawat tiba.
Kumpulan itu terdiri daripada enam jurulatih penerbangan dan 56 anggota kru kejuruteraan.
“Semua juruterbang telah menamatkan pengajian darat dan latihan simulator, dan kini menjalani latihan penerbangan menggunakan pesawat TA-50.
“Dua juruterbang pertama akan menamatkan latihan pada Oktober, manakala empat lagi pada Disember. Persediaan adalah 100 peratus lengkap, jadi apabila pesawat FA-50M tiba pada Oktober, insya-Allah, TUDM akan bersedia untuk mengoperasikannya dengan segera tanpa sebarang kelewatan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa perbarisan sambutan ulang tahun ke-68 TUDM di Pangkalan Udara Subang hari ini.



