KUALA LUMPUR, 18 Jun — Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mengurangkan harga alat ganti servis, termasuk kos buruh, sehingga 10 peratus bermula 19 Jun.
Inisiatif bantu rakyat Malaysia
Pengeluar kereta itu menyatakan inisiatif ini selaras dengan usaha Perodua untuk membantu rakyat Malaysia menghadapi peningkatan kos sara hidup.
“Kempen ini merangkumi semua model Perodua, termasuk model kenderaan elektrik (EV) QV-E, meliputi pemeriksaan, penggantian alat ganti, serta kos buruh berkaitan penyelenggaraan kenderaan,” menurut kenyataan hari ini.
Penjimatan sehingga 10 peratus
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata pengurangan harga adalah berdasarkan harga alat ganti penyelenggaraan serta kos buruh.
Secara keseluruhan, pelanggan dijangka mendapat penjimatan kira-kira 10 peratus pada bil servis purata mereka, katanya.
“Kami mengalu-alukan pelanggan untuk melawat pusat servis sah kami untuk mengetahui lebih lanjut mengenai tawaran ini dan menggunakan alat ganti tulen, supaya kenderaan Perodua anda terus kekal boleh dipercayai dan efisien.
“Kami percaya pengurangan kos servis akan membantu pelanggan mengurangkan kos mobiliti mereka, dan kami di Perodua akan melakukan bahagian kami untuk memberikan nilai lebih kepada pelanggan,” katanya.
Lebih lima juta kenderaan Perodua di jalan raya
Tahun lalu, sebanyak 3.7 juta kenderaan telah diservis di pusat servis Perodua di seluruh negara.
Zainal Abidin menyatakan terdapat lebih lima juta kenderaan Perodua di jalan raya, dan menambah kempen ini akan membolehkan Perodua memberi perkhidmatan lebih baik kepada sebahagian besar rakyat Malaysia. — Bernama



