JOHOR BAHRU, 18 Jun — Kerajaan negeri melancarkan Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) dengan mengenal pasti 83 projek pelaburan merentas lapan industri keutamaan, yang dijangka menyumbang pelaburan bernilai RM167.4 bilion.
Lapan industri utama dikenal pasti
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han, berkata industri tersebut merangkumi kesihatan dan farmaseutikal, logistik, aeroangkasa, pelancongan, pertanian, tenaga, elektrik dan elektronik, serta kimia dan petrokimia, yang akan meningkatkan lagi ekonomi Johor ke tahap yang lebih tinggi.
Beliau berkata tumpuan kepada industri ini akan mengukuhkan naratif pelaburan negeri, seterusnya memberi keyakinan kepada pelabur terhadap sokongan konsisten kerajaan.
Menurutnya, JETP mampu mempercepat realisasi pelaburan di negeri ini melalui pelaksanaan 32 inisiatif intervensi strategik, yang dikenal pasti berdasarkan cabaran utama dan peluang yang dibangkitkan oleh pihak berkepentingan dalam sektor swasta dan agensi awam yang berkaitan.
"Semua inisiatif ini telah melalui proses penapisan dan keutamaan untuk memastikan negeri memberi tumpuan kepada intervensi yang paling kritikal. Inisiatif ini kemudian dinilai berdasarkan kesan ekonomi dan kemudahan pelaksanaannya," katanya ketika membentangkan JETP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Penasihat Ekonomi dan Pelaburan Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad; serta Presiden dan Pengerusi Pemandu Associates, Datuk Seri Idris Jala.
Sasaran tiga teras utama
Lee berkata JETP diperkenalkan untuk mengukuhkan kedudukan Johor sebagai hab ekonomi utama negara dan menyokong pertumbuhan industri sedia ada dan akan datang.
Pelan itu, katanya, dibangunkan untuk mengukuhkan teras kedua Maju Johor 2030, iaitu pembangunan ekonomi, dengan menumpukan usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi dari sumber antarabangsa dan domestik, merangsang pertumbuhan ekonomi melalui insentif, pembangunan infrastruktur dan persekitaran mesra perniagaan.
"Pelan ini juga bertujuan memperkasa tenaga kerja dengan kemahiran dan pengetahuan yang selaras dengan keperluan industri serta mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat, bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan," katanya.
Lee berkata tiga sasaran utama juga ditetapkan di bawah pelan itu bagi memastikan kerajaan negeri mencapai sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) RM260 bilion, dengan jangkaan lebih 200,000 peluang pekerjaan baharu menjelang 2030.
"Melalui pembangunan sektor bernilai tinggi, KDNK per kapita Johor dijangka melebihi RM69,000 menjelang 2030, dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) 7.5 peratus, sekali gus melepasi ambang negeri berpendapatan tinggi mengikut penanda aras Bank Dunia," katanya.
Beliau menambah bahawa di bawah JETP, setiap daerah akan memainkan peranan strategik dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif dan seimbang, seterusnya melengkapi dan mengukuhkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) melalui pembangunan ekosistem sektor tempatan. — Bernama



