Trump Hadiri Jamuan Wartawan, Diserang Suspek Bersenjata
Trump Hadiri Jamuan Wartawan, Diserang Suspek Bersenjata

Seorang lelaki meluru masuk ballroom melepasi beberapa anggota Secret Service. Tembakan kedengaran. Adakah sasaran suspek Trump? Wartawan mewakili pelbagai media yang ditugaskan membuat liputan bermacam aspek bersabit White House khususnya presiden Amerika Syarikat ada persatuan dikenali sebagai White House Correspondents Association atau WHCA, dan setiap tahun ia mengadakan gala night — the White House Correspondents Dinner. Tetamu terhormat pastilah presiden AS. Ini satu tradisi. Persatuan ditubuhkan pada 1914. Jamuan makan malam pertama kali diadakan pada 7 Mei 1921 di Arlington Hotel, Washington DC. Tujuan utama ialah fund raising untuk membiayai liputan White House dan juga aktiviti wartawan, termasuk biasiswa untuk membantu generasi wartawan akan datang. Tiket untuk jamuan dijual hanya kepada organisasi media yang wartawannya menjadi ahli persatuan. Makan malam itu terkenal sebagai suatu pentas di mana satira politik dipersembahkan oleh selebriti terkenal. Presiden diberi peluang untuk menyakat musuh politik dan wartawan. Hakikatnya ia sentiasa acara yang menyeronokkan meskipun pedih dan pedas.

Trump dan Sejarah Jamuan Wartawan

Donald Trump umum tahu tidak mesra wartawan. Kali terakhir beliau hadir White House Correspondents Dinner ialah pada 2011 semasa Barack Obama menjadi presiden. Trump hadir sebagai tetamu. Obama dan hos, Seth Meyers, mempersendakan Trump terutama cita-cita politiknya. Ada pemerhati kata gurauan itu mendorong Trump bertanding untuk jawatan presiden beberapa tahun kemudian. Kali pertama Trump jadi presiden (2017-2021) beliau tidak mahu hadir White House Correspondents Dinner. Kali kedua jadi presiden beliau tidak juga mahu hadir jamuan tahun lalu. Namun tahun ini Trump hadir buat kali pertama sebagai presiden. Banyak pihak terutama media bersiap sedia untuk menghadapi Trump. Anything is possible with this president, kata mereka. Ramai tertanya sesama sendiri sama ada Trump akan belasah media yang selalu mengkritik beliau dan dasar pentadbirannya. Sebagai langkah berhati-hati, komedian yang sering mempermainkan Trump tidak ditugaskan sebagai hos kali ini.

Insiden Tembakan di Ballroom

Namun kita tahu apa yang berlaku semasa Trump hadir di ballroom Washington Hilton semalam, dan bukan Trump yang buat angkara. Seorang lelaki — Cole Tomas Allen — meluru masuk ballroom melepasi beberapa anggota Secret Service. Para pegawai mengejar dan tembakan kedengaran. Seorang pegawai keselamatan cedera. Beliau bersama Allen dibawa ke hospital. Allen, 31, sudah didakwa atas tuduhan menggunakan senjata api untuk melakukan jenayah ganas dan menyerang pegawai persekutuan menggunakan senjata bahaya. Adakah sasaran suspek Trump? Kemungkinan besar iya meskipun ramai ahli politik termasuk anggota pentadbiran Trump dan daripada parti Demokrat berada di dalam ballroom bersama ratusan jemputan dan wakil media. Trump dan isteri dibawa keluar dalam keadaan selamat. Tidak lama kemudian Trump sendiri menyiarkan di media sosial rakaman video keselamatan memaparkan suspek berlari masuk ke dewan jamuan.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga
Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Reaksi Trump Terhadap Serangan

Sejurus kemudian Trump mengadakan taklimat untuk media di White House. Banyak informasi mengenai kejadian yang beliau berikan kepada media, namun butiran lanjut akan disampaikan oleh pasukan keselamatan dan pegawai penyiasat. Kata Trump, “politik adalah bidang kerja yang berbahaya. Ia datang dengan wilayah itu.” Lantas Trump menegaskan jawatan yang disandang “adalah pekerjaan yang sangat berbahaya.” Beliau merujuk suspek sebagai “dia sakit.” Trump percaya insiden di Washington Hilton tidak ada kena mengena dengan perang di Iran. Rata-rata rakyat AS menentang dasar Trump berhubung Iran dan tidak setuju AS melancarkan perang di Asia Barat. Semasa jamuan diadakan, dilaporkan ada demonstrasi anti-Trump di hadapan Washington Hilton. Dalam memuji kecekapan dan ketangkasan pasukan keselamatan, Trump berkata beliau mahu terus hidup “untuk menjadikan Amerika hebat.” Katanya apa yang berlaku ialah kerana beliau berbuat sesuatu. Presiden AS lampau yang pernah diserang juga melakukan sesuatu. Begitu jugalah dengannya, kata Trump. “Saya telah mengkaji pembunuhan. Orang yang melakukan paling banyak, orang yang memberi impak terbesar, mereka itulah yang menjadi sasaran. Mereka adalah orang yang sangat berpengaruh, lihat sahaja nama-nama itu,” kata Trump sambil memetik Abraham Lincoln. Kata beliau lagi: “Saya benci untuk mengatakan saya dihormati dengan itu tetapi saya telah melakukan banyak, kami telah melakukan banyak. Kami telah mengambil negara ini — kami adalah bahan ketawa selama bertahun-tahun dan kini kami adalah negara paling hangat. Saya fikir itulah sebabnya.” Jelas ada sindiran buat Obama dan Joe Biden.

Pemanfaatan Politik Insiden

Realitinya ahli politik yang bijak boleh memanfaatkan musibah untuk menyerang lawan dan pada masa sama untuk kebaikan diri sendiri. Ahli politik yang bijak juga akan menggunakan apa yang berlaku untuk menjustifikasi apa yang beliau mahu laksanakan. Contohnya Trump sedang mendirikan ballroom hebat di White House yang menelan belanja jutaan dolar. Tindakannya dibantah ramai tetapi berikutan insiden di Washington Hilton, Trump membayangkan ballroom di White House lebih selamat daripada ballroom di Hilton. “Lihat semua keadaan yang berlaku malam ini dan ia bukan bangunan yang sangat selamat dan saya tidak mahu katakan ini, tetapi inilah sebabnya kita perlu mempunyai semua ciri yang kita rancang di White House. Ia sebenarnya bilik yang lebih besar, kalis dron, kaca kalis peluru. Kami perlukan ballroom.”

Kesan Terhadap Populariti Trump

Penarafan kelulusan Trump sebelum ini berada pada paras rendah. Kita tahu mengapa. Namun setelah insiden di majlis makan malam wartawan White House, mungkin kritikan kerasnya ke atas Paus Leo serta memaparkan grafik ciptaan AI yang menunjukkan beliau seakan Jesus Christ yang menguris perasaan penganut Katolik, juga tindakan ganas ICE dalam melaksanakan dasar anti imigresen, harga minyak melambung dan inflasi mencanak akibat tindakannya melancarkan perang ke atas Iran, dan banyak lagi hal akan dilupakan atau diketepikan meskipun buat seketika. Seperkara lagi. Ingat tak insiden di Pennsylvania 13 Julai 2024? Semasa Trump berkempen untuk pilihan raya presiden berlaku percubaan membunuh. Beliau terselamat tetapi cedera di bahagian telinga ditembak seorang lelaki berusia 20 tahun bernama Thomas Crooks. Dia mati ditembak pegawai keselamatan di tempat kejadian. Ada orang kata insiden itu ada peranan membentuk perasaan pengundi yang memberi kemenangan kepada Trump. Ini saya tidak tahu benar atau tidak.