Tiga orang maut dalam satu insiden tembakan di sebuah kompleks masjid di California pada Isnin. Dua suspek penembak remaja ditemui mati di dalam sebuah kereta akibat tembakan yang dilakukan sendiri, kata polis.
Kronologi kejadian
Polis berkata pasukan kecemasan menemui mangsa di luar Pusat Islam San Diego, sebelum menemui dua penembak berusia 19 dan 17 tahun yang juga sudah meninggal dunia. Rakaman televisyen dari helikopter menunjukkan pasukan bersenjata berkumpul di luar sebuah bangunan, dengan seorang individu tidak dikenali terbaring berlumuran darah. Puluhan kereta peronda dilihat memenuhi kawasan pusat Islam tersebut, yang menurut laman webnya merupakan masjid terbesar di daerah San Diego, selatan California.
Selepas tempoh singkat sekatan pergerakan apabila pihak berkuasa mengarahkan penduduk supaya kekal di dalam rumah, polis San Diego mengumumkan bahawa ancaman di pusat itu telah ‘dihapuskan’.
“Kami menerima panggilan mengenai penembak aktif di pusat Islam itu. Dalam masa empat minit, pegawai tiba di lokasi dan serta-merta mendapati tiga mangsa sudah meninggal dunia di bahagian hadapan,” kata Ketua Polis San Diego Scott Wahl kepada wartawan.
“Kami segera melaksanakan respons penembak aktif ke dalam masjid dan sekolah berdekatan,” katanya, sambil menambah bahawa polis juga menerima laporan tembakan di kawasan berhampiran, di mana seorang pekerja landskap yang sedang bertugas ditembak tetapi tersasar.
Tempat ibadat menjadi sasaran
Di luar pusat Islam itu, polis menemui sebuah kenderaan di tengah jalan dengan dua suspek yang ditemui mati. “Pada ketika ini, suspek dipercayai mati akibat tembakan sendiri. Tiada pegawai polis yang melepaskan tembakan,” kata Wahl.
Polis berkata seorang pengawal keselamatan di pusat Islam itu merupakan salah seorang daripada tiga mangsa yang terbunuh. Identiti dua mangsa lain masih belum dikenal pasti.
Imam masjid, Taha Hassane, berkata semua kakitangan, guru dan kanak-kanak di masjid tersebut berada dalam keadaan selamat. “Kami tidak pernah mengalami tragedi seperti ini sebelum ini. Pada ketika ini, apa yang boleh saya katakan hanyalah kami mendoakan dan berdiri bersama semua keluarga dalam komuniti kami,” katanya. “Sangat tidak masuk akal untuk mensasarkan tempat ibadat,” tambah imam itu.
Presiden Donald Trump menyifatkan insiden itu sebagai ‘situasi yang teruk’. “Saya telah diberi beberapa maklumat awal, tetapi kami akan menelitinya dengan sangat teliti,” katanya kepada wartawan. Gabenor negeri Gavin Newsom turut dimaklumkan mengenai serangan itu, menurut pejabatnya. “Kami berterima kasih kepada pasukan pertama yang bertindak di lokasi untuk melindungi komuniti dan menggesa semua orang mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam satu hantaran di X.



