Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin, mengumumkan bahawa proses penilaian bagi perolehan pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) akan bermula pada tahun 2029 atau 2030. Langkah ini selaras dengan rancangan untuk menggantikan aset utama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sedia ada.
Penggantian pesawat F-18 dan Sukhoi
Menurut Khaled, pesawat F-18 dan Sukhoi Su-30MKM dijangka akan dilucut tauliah pada tahun 2035 atau 2036. Oleh itu, proses penilaian perlu dimulakan lebih awal bagi memastikan peralihan yang lancar. Beliau berkata, “Kita ada pesawat F-18 dan Sukhoi yang dijangka dilucut tauliah pada 2035. Ini bermakna menjelang 2030, kita perlu mula menilai pesawat mana yang akan diperoleh untuk menggantikan aset tersebut.”
Perolehan FA-50 ganti Hawk
Dalam pada itu, Khaled memaklumkan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menerima 18 buah pesawat tempur ringan FA-50 secara berperingkat mulai akhir tahun ini. Perolehan ini adalah bagi menggantikan pesawat Hawk yang menggunakan teknologi lama dan dijangka akan bersara dalam masa terdekat. “FA-50 mempunyai keupayaan teknologi yang lebih canggih berbanding Hawk. Ia bukan sahaja akan menggantikan Hawk, tetapi juga akan melengkapi pesawat pejuang F-18 dan Sukhoi yang sedia ada,” jelasnya.
Nilai perolehan RM4.08 bilion
Kerajaan telah menandatangani surat penerimaan bagi perolehan pesawat FA-50 bernilai RM4.08 bilion dengan Korea Aerospace Industries, pengeluar tunggal pesawat Korea Selatan itu, pada Februari 2023. Perjanjian pembelian kemudiannya dimeterai semasa Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023. Khaled juga menegaskan bahawa cadangan sebelum ini untuk memperoleh pesawat F-18 dari Kuwait telah dibatalkan. Namun, beliau memberi jaminan bahawa 18 buah pesawat FA-50 yang akan diterima mencukupi untuk menjaga kedaulatan dan pertahanan ruang udara negara buat masa ini.



