KUALA LUMPUR, 22 Mei — Kedudukan Malaysia sebagai negara ketujuh paling dipercayai di dunia dalam 2026 Edelman Trust Barometer menunjukkan negara berada di landasan tepat dalam mengukuhkan keyakinan institusi, kestabilan sosial dan perpaduan nasional, kata Nga Kor Ming.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata Indeks Kepercayaan Malaysia meningkat daripada 66 mata pada 2025 kepada 71 mata tahun ini, meletakkan negara dalam kalangan negara berprestasi terbaik dunia dari segi kepercayaan awam terhadap kerajaan, perniagaan, media dan institusi bukan kerajaan.
Beliau berkata pencapaian itu mencerminkan keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap tadbir urus, hala tuju ekonomi dan komitmen Malaysia terhadap pembangunan inklusif.
“Pengiktirafan ini bukan sekadar angka, tetapi cerminan keyakinan rakyat terhadap institusi dan kepimpinan negara. Ia membuktikan bahawa usaha Malaysia dalam memperkukuh tadbir urus baik, kestabilan ekonomi dan keharmonian sosial membuahkan hasil positif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nga berkata Kerajaan Madani akan terus menegakkan ketelusan, akauntabiliti dan dasar berpusatkan rakyat bagi memastikan kepercayaan awam kekal sebagai asas kemajuan negara.
“Pada ketika banyak negara menghadapi polarisasi dan ketidaktentuan yang semakin meningkat, kedudukan Malaysia dalam kalangan negara paling dipercayai di dunia menunjukkan kekuatan kita dalam memelihara perpaduan di tengah kepelbagaian. Pencapaian ini milik semua rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata walaupun laporan itu mengetengahkan cabaran berkaitan perpecahan sosial dan maklumat salah, penemuan tersebut harus menjadi peringatan kepada semua pihak untuk terus memupuk persefahaman bersama, keterangkuman dan wacana awam yang bertanggungjawab dalam menjaga keharmonian dan kemakmuran jangka panjang negara. — Bernama



