SEPANG: Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) mengesahkan lapan rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 telah ditahan oleh tentera laut rejim Zionis Israel (IOF) setakat jam 6 petang ini (waktu Malaysia).
Kronologi Penahanan
Menurut laporan SNCC, aktivis Zainal Rashid Ahmad ditahan pada jam 5 petang ketika sedang belayar menaiki kapal Amanda. Muhamad Muhsin Zaidi yang menaiki kapal Isobella pula dipintas pada jam 5.20 petang. Tiga rakyat Malaysia iaitu S Patmanathan, Muhammad Amirul Afif Mohd Azhar dan Dr Syakirin Muhamed Senin yang menaiki Ferluto ditahan pada jam 4.50 petang. Dua lagi yang ditahan ialah Mohammad Syazly Mohammad Shees dan Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari, di mana kapal mereka, Cactus, dipintas pada jam 4 petang. Aktivis Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzzaman yang belayar dengan kapal Josef/Yusuf ditahan pada jam 5.35 petang.
Lokasi Kejadian
Ketua Pengarah SNCC Sani Araby Abdul Alim Araby memaklumkan bahawa ketika kejadian intimidasi berlaku, flotila berada kira-kira 241 batu nautika dari Pantai Gaza, iaitu di laluan perairan antarabangsa yang sah dan dilindungi sepenuhnya di bawah undang-undang maritim antarabangsa, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unclos).
"SNCC melaporkan bahawa pihak IOF melakukan pendekatan provokatif menggunakan beberapa buah bot laju ke arah flotila selain kehadiran dua kapal perang dan sebuah kapal tahanan berhampiran dengan kawasan operasi flotila," katanya dalam sidang media perkembangan misi GSF 2.0 hari ini.
Kapal Dipintas
Beliau berkata, sebanyak 11 kapal flotila dipintas, dihampiri dan dikenakan tindakan gangguan langsung oleh pihak IOF, iaitu Cactus, Zio Faster, Holy Blue, Ferluto, Kyriakos, Amanda, Blue Toys, Barbaris, Isobella, Josef dan Tenaz (Freedom Flotilla). Selain itu, dua kapal yang ditahan pihak IOF melibatkan delegasi Sumud Nusantara Pakistan, iaitu Abdul Sattar Edhi Muhammad Saad (kapal Zio Faster) dan Andi Anga Prasadewa dari Indonesia yang menaiki kapal Josef.
Keadaan Semasa
Sani Araby berkata, 41 kapal flotila termasuk yang membawa 21 rakyat Malaysia masih meneruskan pelayaran menuju ke Gaza dalam keadaan risiko keselamatan yang sangat tinggi susulan ancaman pemintasan, gangguan dan tindakan agresif berterusan oleh pihak IOF.
"SNCC memantau rapat perkembangan terkini operasi flotila dan akan terus menyalurkan kemas kini rasmi dari semasa ke semasa berhubung status keselamatan serta pergerakan flotilla," katanya.
"SNCC menyeru masyarakat antarabangsa, badan hak asasi manusia dan komuniti maritim dunia untuk memberikan perhatian serius terhadap tindakan intimidasi dan ancaman keselamatan yang dihadapi oleh misi kemanusiaan awam ini di perairan antarabangsa."



