MERSING: Usaha membawa pulang tiga ekor gajah bernama Dara, Amoi dan Kelat dari Zoo Tennoji di Osaka, Jepun tidak boleh dilakukan secara terburu-buru kerana perlu melalui beberapa proses dan prosedur yang ditetapkan.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata aspek kebajikan dan keselamatan haiwan tersebut perlu diambil kira bagi mengelakkan insiden tidak diingini.
“Bukan maknanya hari ini kita kata nak bawa balik, esok sudah boleh bawa balik. Selain itu, kita juga ada perjanjian di antara Zoo Taiping and Night Safari (ZTNS) serta Zoo Tennoji. Perkara ini perlu diambil kira dan diteliti dengan cermat, tetapi bila nak bawa pulang tak tahulah. Saya pun tidak ada maklumat tentang perkara itu,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Eksplorasi Biodiversiti di Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (CFS) Hutan Simpan Lenggor dan Hutan Simpan Mersing di Politeknik Mersing.
Syed Ibrahim berkata pihak kementerian menyerahkan kepada ZTNS dan Majlis Perbandaran Taiping untuk mengendalikan isu berkaitan haiwan tersebut termasuk tindakan yang perlu diambil.
Terdahulu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup, dilaporkan berkata cadangan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) untuk membawa pulang tiga gajah berkenaan wajar dipertimbangkan secara serius.
Sebelum ini, Jawatankuasa Pilihan Alam Sekitar, Sains dan Perladangan Parlimen mencadangkan supaya satu sesi tinjauan fizikal dilakukan ke atas tiga ekor gajah Asia itu. Jawatankuasa yang dianggotai 12 Ahli Dewan Rakyat dan dipengerusikan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Mohamed @Hashim, memaklumkan tinjauan tersebut bagi melihat sendiri keadaan tiga ekor gajah berkenaan, susulan isu itu menjadi perhatian serta mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat.
Mengenai program Eksplorasi Biodiversiti, beliau berkata ia berlangsung selama lima hari bermula semalam, melibatkan 120 peserta terdiri daripada penyelidik dari institusi pengajian tinggi, pegawai agensi kerajaan, NGO dan pelbagai pakar.
“Objektif utama penganjuran eksplorasi ini adalah untuk memahami kefungsian dan ketersambungan hutan serta koridor ekologi di samping membantu usaha pemeliharaan habitat dan pengurusan sumber biodiversiti secara lebih bersepadu dan mampan,” katanya.



