Seorang anak Sarawak kelahiran Sibu merupakan antara enam rakyat Malaysia yang bersiap sedia untuk melancarkan nanosatelit di Amerika Syarikat, dedah Premier Sarawak Abang Johari Openg.
Pelajar Sarawak dalam misi angkasa lepas
Menurut Abang Johari, pelajar tersebut kini sedang melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam pengajian angkasa lepas di University of Southern California. Beliau berkata demikian ketika menyentuh usaha Sarawak untuk maju dalam bidang aeroangkasa, teknologi satelit dan ekonomi digital.
“Mereka akan melancarkan nanosatelit di AS dengan seorang anak Sarawak dalam pasukan itu,” katanya seperti dipetik oleh Borneo Post. Namun, identiti pelajar Sarawak itu tidak didedahkan.
Pentingnya satelit sendiri untuk Sarawak
Abang Johari menegaskan bahawa masa depan bergantung kepada data atau maklumat, kecerdasan buatan dan teknologi berasaskan angkasa, termasuk sistem satelit untuk menyokong pengkomputeran awan dan infrastruktur maklumat.
“Ini bermakna kita mesti mempunyai satelit kita sendiri,” ujarnya sambil menambah bahawa kerajaan negeri merancang untuk menubuhkan fakulti aeroangkasa di Kolej Universiti i-CATS.
Beliau juga menekankan bahawa teknologi satelit dan kecerdasan buatan akan menjadi penting untuk masa depan negeri itu, sejajar dengan usaha Sarawak untuk menjadi peneraju dalam ekonomi digital di rantau ini.



