Ahli akademik AS puji Malaysia enggan jalin hubungan diplomatik dengan Israel
Ahli akademik AS puji Malaysia enggan hubungan dengan Israel

PUTRAJAYA: Profesor Universiti Columbia Joseph Massad memuji Malaysia kerana enggan menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel, walaupun berhadapan tekanan daripada Amerika Syarikat ke atas negara-negara majoriti Islam untuk berbuat demikian.

Pendirian Malaysia sebagai bantahan genosid

Bercakap pada sidang media selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk 'Identiti Muslim dalam Dunia Globalisasi' di sini, Massad berkata, keputusan Malaysia itu tidak seharusnya dilihat sebagai sikap memusuhi orang Yahudi.

“Tindakan tidak menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara yang melakukan genosid adalah suatu kenyataan membantah genosid, bukan menentang orang Yahudi,” kata Massad, seorang profesor politik Arab moden dan sejarah intelektual.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Beliau berkata demikian susulan gesaan lapan penggubal undang-undang AS menggesa Setiausaha Negara Marco Rubio supaya mengkaji semula hubungan keselamatan dan ekonomi Washington dengan Malaysia, serta mempertimbangkan penggantungan pembiayaan latihan ketenteraan AS, susulan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa warga Israel di negara ini akan diusir.

Kritikan terhadap Israel bukan antisemitik

Massad yang juga warga Jordan menolak dakwaan bahawa kritikan terhadap Israel bersifat antisemitik, dengan menegaskan bahawa Israel tidak mewakili orang Yahudi di seluruh dunia.

“Majoriti orang Yahudi tidak menetap di Israel dan tidak memilih Israel untuk bercakap bagi pihak mereka,” katanya.

Beliau menuduh Israel mendakwa kononnya mewakili semua orang Yahudi, dan dakwaan ini, menurutnya, yang bersifat antisemitik, bukannya kritikan terhadap kerajaan Israel.

Tekanan AS untuk normalisasi hubungan

Massad juga berkata, AS telah mendesak negara-negara majoriti Islam dan Arab untuk menormalkan hubungan dengan Israel.

“Terdapat tekanan yang amat besar daripada AS, penaja utama Israel yang melakukan genosid, untuk memaksa dan mendesak negara-negara majoriti Islam serta negara-negara Arab menormalkan hubungan dengan Israel.

“Jadi saya ingin katakan di sini, saya puji Malaysia serta ahli politik dan kerajaannya kerana enggan tunduk kepada arahan sedemikian daripada AS,” katanya.

Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir yang turut hadir pada syarahan itu berkata, beliau bersetuju dengan respons Massad berhubung dakwaan yang dilemparkan terhadap Malaysia. Beliau juga berkata, tidak wajar untuk mengharapkan Malaysia hanya menerima tindakan Israel.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga