Jabatan Warisan Kaji Struktur Perahu Lama di Kelantan
JWN Kaji Struktur Perahu Lama di Kelantan

Jabatan Warisan Negara (JWN) telah melaksanakan tinjauan awal terhadap penemuan sebuah struktur perahu lama di Kampung Bukit Kechik, Tanah Merah, Kelantan, semalam. Tujuan tinjauan ini adalah untuk mengenal pasti kepentingan dan signifikasi sejarah jumpaan tersebut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh jabatan itu, berdasarkan ciri-ciri fizikal perahu berkenaan, ia dipercayai dibina menggunakan kayu keras tempatan seperti cengal atau meranti. Perahu ini dibina menggunakan teknik pertukangan tradisional seperti tanggam kayu dan pasak. Struktur binaan ini secara tidak langsung mencerminkan kepakaran tinggi tukang perahu Melayu zaman dahulu dalam menyesuaikan reka bentuk dengan keadaan sungai yang berubah-ubah.

Nilai Sejarah Yang Besar

Jabatan itu memaklumkan bahawa penemuan tersebut bukan sekadar satu artifak fizikal, malah ia membawa nilai sejarah yang besar dalam menggambarkan corak kehidupan masyarakat di Tanah Merah suatu ketika dahulu. Masyarakat pada era itu dipercayai bergantung sepenuhnya kepada sungai sebagai laluan utama untuk aktiviti perdagangan, perhubungan, dan urusan kehidupan harian.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Langkah Seterusnya

Susulan penemuan berkenaan, kajian terperinci dan dokumentasi lanjut akan dijalankan bagi memastikan warisan pengangkutan air itu dapat terus dipelihara sebagai sebahagian daripada identiti sejarah negeri Kelantan. JWN turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada komuniti Kampung Bukit Kechik atas sokongan dan kerjasama padu yang diberikan dalam melaksanakan kerja-kerja menyelamatkan artifak perahu berkenaan.

Sehubungan itu, orang ramai diseru supaya melaporkan sebarang penemuan warisan kebudayaan yang berpotensi kepada jabatan tersebut bagi membolehkan khazanah itu dipelihara demi kelangsungan generasi masa hadapan.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga