7 resort di Semporna dikompaun, diarah tutup sementara tanpa lesen
7 resort Semporna dikompaun, diarah tutup sementara

Tujuh resort di perairan Semporna telah dikompaun dan diarahkan tutup sementara selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk beroperasi tanpa lesen yang sah, semalam.

Tindakan tegas terhadap pengusaha tidak patuh

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Jafry Ariffin, berkata beberapa pekerja resort turut ditahan kerana tidak memiliki dokumen sah menerusi operasi bersepadu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) bersama polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Beliau menegaskan kerajaan negeri memandang serius isu berkaitan sektor pelancongan di Semporna, terutama aspek pelesenan. Kerajaan bersedia membantu pengusaha mendapatkan lesen yang diperlukan, namun pengusaha perlu tampil memohon lesen yang sah.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Setakat ini, lebih 60 pengusaha pelancongan sedang menunggu kelulusan lesen, namun masih terdapat kira-kira 80 pengusaha yang belum memohon lesen sah,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Risiko keselamatan pelancong

Jafry berkata Motac akan mengambil tindakan berterusan dan tidak menolak kemungkinan pihak berkuasa tempatan bertindak merobohkan struktur binaan yang beroperasi secara tidak sah. Bagi menangani isu pekerja tanpa dokumen, kementeriannya telah menubuhkan Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas bagi menangani isu kritikal dalam industri pelancongan di Semporna.

“Semporna ini tempat yang cantik, jadi kita mahu pastikan pelancongan yang ditawarkan adalah sah. Jika tidak, ia dikhuatiri boleh melibatkan risiko keselamatan pelancong. Sekiranya berlaku insiden, tuntutan insurans juga boleh menjadi masalah. Ini antara risiko yang dihadapi pelancong,” katanya kepada pemberita selepas Program Tinjauan Keselamatan bersama ketua menteri Sabah di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) di Semporna.

Penguatkuasaan di Kundasang

Dalam pada itu, Jafry berkata kementeriannya akan memastikan semua pengusaha pelancongan di Sabah beroperasi secara sah dengan memiliki lesen yang dikeluarkan kerajaan, termasuk usaha mengesan operator tidak berlesen di Kundasang.

“Kundasang adalah antara destinasi pelancongan utama Sabah. Kita dapati terdapat kes tidak berlesen, jika berlaku insiden, ia boleh mencalarkan imej Sabah. Tambahan pula, kawasan itu berisiko kerana terletak di lereng bukit dan terdedah kepada gempa bumi,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga