Kampung Bantal dekat di hati keluarga Sultan Pahang, bakal jadi Kampung Diraja pertama
Kampung Bantal bakal jadi Kampung Diraja pertama Pahang

JERANTUT, 17 Mei — Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, telah menyatakan hasrat untuk menjadikan Kampung Bantal di Ulu Tembeling sebagai Kampung Diraja pertama di negeri itu.

Kampung Bantal dekat di hati keluarga Diraja

Al-Sultan Abdullah menyifatkan kampung yang terletak di pedalaman itu sangat dekat di hati keluarganya, kerana ia menyimpan banyak kenangan manis dan membolehkan baginda mendekati kehidupan rakyat.

“Saya ingin menjadikan kampung ini sebagai kampung yang istimewa, dan jika penambahbaikan infrastruktur dapat dilaksanakan, kita akan menaik tarafnya menjadi Kampung Diraja. Ini akan menjadi Kampung Diraja pertama di Pahang.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Bantal juga merupakan nama panggilan yang diberikan kepada Tengku Ampuan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, oleh keluarganya semasa zaman kanak-kanak. Walaupun jauh dari segi jarak, kampung ini tetap dekat di hati,” titah baginda.

Majlis penyerahan bantuan perubatan

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan majlis penyerahan sumbangan peralatan perubatan oleh Institut Jantung Negara (IJN) dan penyerahan bantuan kepada golongan memerlukan di Kampung Bantal di sini.

Turut hadir sama di majlis itu ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Al-Sultan Abdullah menitahkan agar infrastruktur seperti jambatan dan jalan raya di kampung itu dinaik taraf untuk keselesaan dan keselamatan penduduk, serta memudahkan pengangkutan dan aktiviti ekonomi tempatan.

Baginda juga berharap penduduk, terutamanya generasi muda, akan membantu meningkatkan ekonomi tempatan dengan melibatkan diri dalam aktiviti pertanian dan kraf tangan.

Sementara itu, Sultan Pahang menasihati penduduk supaya menjaga kebersihan dan kesihatan agar dapat menunaikan ibadah dengan sempurna dan menjalani kehidupan yang lebih sejahtera.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah dan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut serta dalam gotong-royong bersama penduduk setempat sebelum melawat projek fertigasi timun di Kampung Gusai di sini. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga