SHAH ALAM, 30 April — Polis sedang mengesan individu yang dipercayai terlibat dalam kes mengganggu ketenteraman awam dengan melepaskan bunga api di Setia Alam pada tengah malam, yang baru-baru ini tular di media sosial.
Butiran kejadian
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ramsay Embol berkata, dalam kejadian itu, dipercayai bunga api yang dilepaskan menghasilkan 50 hingga 100 letupan kuat secara berturut-turut untuk sesi fotografi perkahwinan di kawasan tempat letak kereta awam Setia Alam Community Trail.
“Dalam rakaman tular, kejadian menunjukkan ia berlaku pada 26 April jam 1.05 pagi, dan bunga api dilepaskan dalam tiga siri berturut-turut. Kejadian berulang pada 27 April sekitar jam 2.11 pagi.
“Satu laporan polis diterima pada 29 April jam 8.26 pagi selepas video itu tular di media sosial dan menarik perhatian awam,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Siasatan dan tindakan
Ramsay berkata, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi pegawai penyiasat, Insp Siti Mahanira Mahat di 0192522905 untuk membantu siasatan.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 7 Akta Bahan Peledak 1957.
Terdahulu, satu video tular di media sosial menunjukkan sekumpulan individu di tempat letak kereta, dipercayai dalam sesi fotografi perkahwinan, melepaskan bunga api berhampiran sebuah apartmen di Setia Alam. — Bernama



