Polis Johor percaya motif di sebalik kejadian tembakan di sebuah restoran di Taman Kota Jaya pada Ahad lalu yang mengorbankan tiga nyawa adalah berpunca daripada hutang sebanyak RM50,000.
Enam Kelongsong Peluru Ditemui
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata siasatan di tempat kejadian menemukan enam kelongsong peluru. Suspek yang berusia 71 tahun itu dipercayai bertindak kerana hutang tersebut melibatkan seorang mangsa wanita warga Vietnam berusia 37 tahun.
“Suspek dipercayai telah meminjamkan wang secara berperingkat sejak tahun 2023 untuk membantu wanita itu menguruskan restorannya. Namun, tiada perjanjian bertulis di antara mereka.
“… wanita itu dipercayai menguruskan restoran milik ibu mertuanya, manakala dua lagi mangsa yang meninggal dunia adalah pelanggan tetap berusia 61 dan 63 tahun, yang berada di tempat kejadian ketika insiden berlaku,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Johor hari ini.
Suspek Miliki Lesen Senjata Api Sah
Beliau berkata siasatan juga mendapati suspek memiliki lesen senjata api yang sah yang dikeluarkan di Kuantan, Pahang, dan bukan di Johor. Ab Rahaman menambah bahawa suspek telah direman sehingga Ahad untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Kertas siasatan telah dihantar ke Pejabat Pendakwa Raya Johor, dan kami telah menerima arahan supaya suspek didakwa di Mahkamah Kota Tinggi dengan tiga pertuduhan membunuh,” katanya, sambil menambah bahawa suspek dijangka akan didakwa pada hari Isnin.
Beliau mengesahkan bahawa suspek didapati negatif dadah dan tidak berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian. Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, dua lelaki dan seorang wanita asing ditemui mati ditembak di restoran tersebut, dengan mangsa dipercayai ditembak menggunakan senapang patah.



