Seorang rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa di Lapangan Antarabangsa Macau selepas disyaki menyeludup hampir tiga kilogram dadah jenis heroin bernilai kira-kira MOP$4.18 juta (RM2.09 juta) pada bulan lalu. Suspek lelaki berusia 24 tahun itu tiba di Macau dengan penerbangan dari sebuah negara di Asia Tenggara pada lewat malam 20 Jun lalu.
Penahanan hasil risikan dan pemantauan
Menurut kenyataan Polis Kehakiman Macau (PJ), suspek dikesan oleh pegawai Bahagian Narkotik PJ yang ditempatkan di lapangan terbang susulan risikan dan pemantauan terhadap taktik penyeludupan dadah antarabangsa. Lelaki Malaysia itu ditahan sebaik sahaja mengambil bagasi berdaftarnya sebelum pemeriksaan di lokasi menemukan 49 kotak biskut tuna yang dibungkus rapi.
Setiap kotak mengandungi dua paket biskut dan satu tin pes tuna. Pemeriksaan ke atas beberapa tin itu mendapati ia tidak mengandungi pes tuna, sebaliknya dipenuhi serbuk putih. Pemeriksaan lanjut terhadap penemuan serbuk putih mendapati bahan berkenaan adalah heroin seberat 2,987 gram (2.987 kg) dengan nilai pasaran kira-kira MOP$4.18 juta (RM2.09 juta).
Ditawarkan bayaran RM3,000 oleh sindiket
Lelaki terbabit dipercayai direkrut oleh sindiket pengedaran dadah di Malaysia yang menjanjikan bayaran RM3,000 atau bersamaan kira-kira MOP$6,000 sebaik kegiatan menyeludup selesai. Menurut PJ, lelaki itu dipercayai diarahkan mengambil dadah berkenaan di sebuah negara Asia Tenggara sebelum menyeludup ke Macau untuk dihantar ke wilayah berhampiran mengikut arahan sindiket.
Lelaki itu kemudian dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya atas kesalahan mengedar dadah narkotik dan bahan psikotropik secara haram. Pengedaran dadah adalah jenayah serius di Macau apabila pesalah berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun.



