Kerajaan Kelantan berharap Sukan Malaysia (Sukma) 2026 di Selangor diteruskan seperti dirancang, walaupun dalam skala yang lebih kecil, kata seorang exco negeri hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pertubuhan Bukan Kerajaan dan Perpaduan Komuniti Zamakhshari Muhamad berkata penangguhan temasya itu boleh memberi kesan langsung terhadap prestasi dan semangat atlet negeri.
Beliau berkata kerajaan negeri telah bersedia hampir dua tahun sejak Sukma 2024 di Sarawak, dengan komitmen besar dari segi masa, usaha dan kewangan.
Hormati pandangan Sultan Selangor
“Namun, kami menghormati pandangan Sultan Selangor,” katanya seperti dilapor Bernama selepas sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan hari ini.
Zamakhshari berkata mesyuarat jawatankuasa tertinggi Sukma pada 9 April juga membincangkan cadangan untuk meneruskan temasya secara berskala kecil.
Pada Isnin, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyarankan temasya yang dijadualkan pada 15 hingga 24 Ogos ditangguhkan sehingga krisis tenaga global selesai dan pembangunan semula Stadium Shah Alam siap.
Tindakan kementerian
Menteri Belia dan Sukan Dr Taufiq Johari berkata kementeriannya akan mendapatkan pandangan kerajaan Selangor mengenai penangguhan temasya itu, dan mesyuarat khas jawatankuasa tertinggi Sukma akan diadakan bagi membincangkan perkara tersebut.
Beliau menegaskan bahawa keputusan muktamad akan dibuat selepas semua pihak berkepentingan memberi maklum balas.



