Polis menahan empat remaja berusia 15 hingga 16 tahun kerana disyaki membuli seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun di sebuah rumah anak yatim di Pantai Puteri, Melaka. Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata keempat-empat remaja yang juga penghuni rumah anak yatim itu ditahan selepas ibu mangsa membuat laporan polis pada Rabu lalu.
Menurut laporan Harian Metro, ibu kanak-kanak itu mendakwa anaknya dipukul dan ditendang oleh suspek. Lebih teruk, kepala mangsa turut direndam ke dalam baldi berisi air serta diseret di atas lantai tandas. “Bertindak atas laporan itu, polis melakukan siasatan dan menahan empat pelajar lelaki berusia antara 15 hingga 16 tahun pada keesokannya,” kata Dzulkhairi dalam satu kenyataan.
“Semua suspek yang juga pelajar sekolah menengah itu ditahan bagi membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil,” tambahnya. Beliau memaklumkan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan kerana membuli. Dzulkhairi juga meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kes tersebut.
Beliau turut menasihati masyarakat agar menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan. Kejadian ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan pengasuh rumah anak yatim tentang keselamatan anak-anak di bawah jagaan mereka.



