Pembukaan Seksyen 4 WCE: Rakyat masih menanti manfaat ketersambungan
Pembukaan Seksyen 4 WCE: Rakyat masih menanti manfaat

Pembukaan Seksyen 4 WCE: Rakyat masih menanti manfaat ketersambungan

Pembukaan Seksyen 4 Lebuhraya Pantai Barat (WCE) dilihat penting untuk memberi laluan alternatif yang lebih lancar kepada pengguna di Selangor, Perak, dan kawasan Pantai Barat. Namun, rakyat masih menanti manfaat penuh daripada projek strategik ini.

Perbandingan dengan infrastruktur Indonesia

Saya baru sahaja selesai menjelajah Pulau Jawa, Indonesia, menelusuri jaringan lebuh raya dan jalan raya dari barat ke timur, dari Bandung hingga ke Surabaya. Perjalanan sejauh 353 km dari Bandung ke Semarang, yang suatu ketika dahulu terkenal dengan kesesakan, kini menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih efisien. Ini disokong oleh penyelenggaraan lebuh raya dari segi kualiti dan kebersihan, kawasan rehat yang tersusun, serta jaringan dan ketersambungan antara lebuh raya dan jalan raya biasa yang lebih baik, di samping pemandangan yang menakjubkan. Namun, seperti di Malaysia, cabaran kesesakan trafik tetap berlaku terutama ketika musim cuti panjang dan perayaan utama apabila jumlah kenderaan meningkat secara mendadak.

Perancangan lebuh raya di Malaysia

Bezanya, Malaysia sebenarnya telah lama mempunyai perancangan pembangunan rangkaian lebuh raya yang komprehensif melalui pendekatan kesalinghubungan tanpa gangguan (seamless connectivity) bagi memperkukuhkan mobiliti rakyat, merangsang ekonomi, serta membuka akses lebih luas kepada kawasan pembangunan baharu. Melalui Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya (Highway Network Development Plan, HNDP) yang diterajui oleh Kementerian Kerja Raya (KKR), pelbagai laluan alternatif dibangunkan bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu koridor lebuh raya semata-mata.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Potensi WCE

Dalam konteks ini, pembangunan WCE dilihat sebagai antara projek strategik yang berpotensi besar mengubah pola pergerakan trafik di Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Selain menjadi laluan alternatif kepada Lebuhraya Utara-Selatan, WCE turut dijangka memperkukuh hubungan antara pelabuhan laut dan udara, pergerakan industri logistik yang lebih lancar, pelaburan dari dalam dan luar negara, merancakkan pelancongan domestik, serta membangunkan ekonomi setempat khususnya di Selangor, Perak, hingga ke Pulau Pinang.

Seksyen 4 masih tertutup

Justeru, perhatian ramai kini tertumpu kepada Seksyen 4 yang telah lama siap secara fizikal tetapi masih belum dibuka kepada pengguna jalan raya. Walaupun pelbagai perkembangan berkaitan penyambungan kerja pembangunan Seksyen 3 telah menunjukkan kemajuan positif, rakyat masih tertanya-tanya bilakah manfaat penuh jaringan ini dapat mula dinikmati. Pengguna dari Subang Jaya, USJ, Puchong, Shah Alam, dan Klang sedang menanti untuk masuk melalui WCE bagi menikmati perjalanan yang lebih lancar dan masa serta kos bahan api yang lebih menjimatkan untuk ke bandar-bandar di pantai barat Selangor dan Perak hingga ke Taiping.

Penyelesaian interim

Media sebelum ini juga turut melaporkan mengenai cadangan penyelesaian interim melalui penggunaan pusingan-U sementara bagi membolehkan akses ke laluan utara sementara menunggu penyambungan penuh jajaran utama pada masa hadapan. Secara umum, pelaksanaan penyelesaian sementara seperti ini lazimnya melibatkan pelbagai penelitian teknikal dan keselamatan oleh pihak berkaitan, termasuk penilaian oleh juruaudit keselamatan jalan raya bertauliah (Road Safety Auditor), selain pelbagai keperluan penambahbaikan pada jalan penghubung berkaitan. Pada masa sama, beberapa kerja naik taraf infrastruktur sokongan di laluan berkaitan juga dipercayai telah dilaksanakan bagi memperkukuh aspek keselamatan dan kelancaran trafik di kawasan terlibat.

Manfaat pembukaan Seksyen 4

Sekiranya dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat, pembukaan Seksyen 4 WCE dijangka mampu membantu mengurangkan tekanan trafik harian serta memendekkan tempoh perjalanan terutama pada waktu puncak. Apa yang lebih penting ialah rakyat mahu melihat infrastruktur yang telah siap dapat dimanfaatkan sesegera dan seoptimum mungkin demi kepentingan pengguna, ekonomi setempat, dan kelancaran mobiliti negara, selari dengan hasrat Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mahu setiap projek infrastruktur disiapkan lebih awal atau tepat mengikut jadual untuk rakyat menikmati manfaatnya secepat mungkin.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga

Cabaran dan harapan

Seperti mana-mana projek infrastruktur berskala besar, sebarang keputusan berkaitan pembukaan laluan pastinya memerlukan penelitian menyeluruh melibatkan aspek teknikal, keselamatan, pengawalseliaan, dan kesiapsiagaan operasi oleh semua pihak berkepentingan. Namun, dalam keadaan kos sara hidup dan tekanan ekonomi semasa yang semakin mencabar akibat dari situasi geopolitik dunia sekarang, rakyat tentunya berharap segala usaha dan koordinasi berkaitan dapat dipercepatkan agar manfaat pembangunan infrastruktur dapat dirasai lebih awal.

Seksyen 4 WCE bukan sekadar laluan jalan raya. Bagi ramai pengguna, ia melambangkan harapan terhadap perjalanan yang lebih lancar dan selesa, masa yang lebih singkat bersama keluarga, kos perjalanan yang lebih menjimatkan, dan sistem pengangkutan yang lebih efisien demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.