KUALA LUMPUR, 8 Julai — Seramai 12 juta rakyat Malaysia telah mendaftar untuk MyDigital ID setakat 30 Jun 2026, dengan 16 juta transaksi melibatkan pendaftaran, pembaharuan dan pembatalan identiti digital direkodkan.
114 Perkhidmatan Kerajaan Diintegrasikan
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan terus memperluas penggunaan MyDigital ID sebagai mekanisme log masuk tunggal untuk perkhidmatan kerajaan dalam talian melalui strategi integrasi yang dilaksanakan di peringkat persekutuan dan negeri.
Beliau berkata Ketua Setiausaha Negara telah mengeluarkan arahan pada 14 Januari 2025 yang mewajibkan semua kementerian, jabatan persekutuan, badan berkanun, setiausaha negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk melaksanakan sistem log masuk tunggal menggunakan MyDigital ID.
“Setakat 25 Jun 2026, sebanyak 114 perkhidmatan kerajaan dalam talian telah diintegrasikan dengan MyDigital ID, termasuk MyJPJ, MyPTPTN, SPA9 dan platform MyBayar Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di portal Parlimen hari ini.
Integrasi dengan MyGOV dan Peringkat Negeri
Beliau menjawab soalan daripada Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang ingin mengetahui jumlah pendaftaran MyDigital ID setakat 31 Mei 2026 dan langkah kerajaan memastikan semua platform dan sistem perkhidmatan kerajaan dalam talian boleh diakses melalui MyDigital ID.
Menjelaskan lebih lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata MyDigital ID juga telah diintegrasikan dengan platform MyGOV Malaysia yang dibangunkan oleh Jabatan Digital Negara (JDN), membolehkan pengguna mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan melalui satu mekanisme pengesahan identiti digital.
Di peringkat kerajaan negeri, beliau berkata 19 aplikasi dalam talian setakat ini telah diintegrasikan dengan MyDigital ID, manakala 28 lagi aplikasi masih dalam pembangunan. — Bernama



