Malaysia sasar liputan Internet 100 peratus di kawasan berpenduduk menjelang 2027
Malaysia sasar liputan Internet 100 peratus menjelang 2027

BATU PAHAT, 4 Julai — Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi menyasarkan liputan Internet 100 peratus di kawasan berpenduduk di seluruh negara menjelang tahun depan menerusi pelaksanaan Rangkaian Digital Nasional (JENDELA).

Pencapaian Liputan Internet Terkini

Setiausaha Agung Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, berkata setakat 31 Disember 2025, liputan jalur lebar di kawasan berpenduduk telah mencapai 99.71 peratus, mencerminkan komitmen tinggi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Beliau menjelaskan bahawa sebelum pelaksanaan JENDELA, liputan Internet di seluruh negara hanya sekitar 90 peratus. Melalui fasa terkini pelan itu, MCMC akan memberi tumpuan kepada akses Internet sehingga 4G dan 5G.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Perluasan Akses 4G dan 5G

“Kami, kementerian dan MCMC, akan terus memperluas akses kepada 4G dan memperkukuh 5G, termasuk di kawasan luar bandar, yang dilaksanakan melalui kerjasama dan perkongsian infrastruktur antara syarikat telekomunikasi,” katanya kepada Bernama selepas menonton siaran langsung perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 sempena program JAPEN Arena Penggerak Komuniti (JAGO) di Kampung Istana, di sini hari ini.

“Dengan kaedah ini, ia dapat mempercepatkan perluasan liputan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pengguna,” tambahnya.

Kesan Positif kepada Sektor Pendidikan dan Ekonomi

Turut hadir menonton perlawanan ialah Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN), Erwin Khairul Ahmad, dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Istana, Abd Jalil Ali.

Menurut Abdul Halim, perluasan akses Internet yang baik boleh melancarkan pelbagai sektor termasuk pendidikan dan ekonomi, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Program JAGO dan Peranan JAPEN

Sementara itu, Erwin Khairul berkata program JAGO merupakan kesinambungan program ‘wayang pacak’ yang kini dimodenkan, tetapi peranannya dikekalkan sebagai platform penyampaian maklumat dan dasar kerajaan.

Beliau berkata, pada masa ini, terdapat empat unit kenderaan pelbagai fungsi (MFV) beroperasi di seluruh negara dan pihaknya merancang untuk menambah aset tersebut kepada 16 unit pada masa hadapan, selain menyasarkan setiap negeri mempunyai sekurang-kurangnya satu unit kenderaan itu.

“Kami akan sentiasa bergerak ke seluruh negara termasuk menyampaikan inisiatif kerajaan seperti subsidi diesel bersasar, pengecualian caj pengeluaran ATM dan baucar buku untuk pelajar.

“Selain itu, kami JAPEN juga bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk menyiarkan filem tempatan kepada masyarakat,” katanya.

Manfaat Program Kampung Angkat Madani

Sementara itu, Abd Jalil berkata sebagai tuan rumah program JAGO, pihaknya teruja dan pada masa sama bangga apabila kampung itu dipilih sebagai Kampung Angkat Madani (KAM) Kementerian Komunikasi 2026.

“Melalui program KAM ini, penduduk di sini akan mendapat manfaat apabila dewan awam yang dibina pada tahun 1950 akan dinaik taraf dengan peruntukan RM400,000.

“Selain itu, RM100,000 lagi akan digunakan oleh masyarakat setempat untuk program dan aktiviti bersama, termasuk sumbangan kebajikan kepada mereka yang memerlukan,” katanya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga