Pelaksanaan mekanisme pengesahan umur di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Onsa) memerlukan usaha pendidikan digital yang menyeluruh bagi memastikan pengguna, terutamanya golongan muda, memahami risiko dan cabaran dalam dunia siber.
Pendidikan Digital Penting
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil, berkata pihaknya menyokong langkah kerajaan memperkenalkan mekanisme itu bagi menghalang kanak-kanak di bawah umur memiliki akaun media sosial, tetapi pelaksanaannya perlu merangkumi penerangan yang lebih luas dan sesi penglibatan.
“Kami bersetuju dengan mekanisme pengesahan umur kerana platform media sosial telah lama menetapkan garis panduan umur, tetapi tidak pernah ada kaedah yang benar-benar berkesan untuk memastikan umur tidak dipalsukan.
“Kerajaan memperkenalkan kaedah ini supaya kanak-kanak di bawah umur 16 tahun tidak boleh memiliki akaun media sosial,” katanya selaku tetamu dalam program Ruang Bicara Bernama TV malam tadi.
Sesi Dialog Berperingkat
Siraj berkata kerajaan perlu mengadakan sesi dialog secara berperingkat di pelbagai peringkat masyarakat bagi memastikan orang ramai memahami rasional di sebalik pelaksanaan dasar itu dan mengelakkan salah faham.
Beliau menegaskan pendidikan tentang penggunaan internet dan media sosial yang selamat perlu diterapkan sejak peringkat awal kerana ilmu adalah faktor utama dalam membentuk pengguna digital yang bertanggungjawab.
“Pendidikan penting supaya apabila golongan muda mencapai umur yang dibenarkan untuk memiliki akaun media sosial, mereka tidak akan mengalami kejutan budaya dan lebih bersedia menggunakan platform digital dengan selamat,” tambahnya.
Peranan Ibu Bapa
Siraj juga mengingatkan ibu bapa supaya memainkan peranan sebagai pendidik tidak formal dengan meningkatkan pemahaman mereka tentang keselamatan siber sebelum membimbing anak-anak menggunakan teknologi digital.
“Kesediaan ibu bapa sangat penting. Jika amalan keselamatan asas pun tidak diterapkan, bagaimana mereka boleh melindungi anak-anak di internet? Sebab itu pemahaman perlu dibina, dan kerajaan perlu memastikan saluran komunikasinya dipertingkatkan,” katanya.
Bermula 1 Jun, pengguna platform media sosial perlu memuat naik dokumen rasmi yang dikeluarkan kerajaan untuk tujuan pengesahan umur berikutan pelaksanaan dua kod baharu di bawah Onsa.
Dua kod yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ialah Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC), yang bertujuan menghalang individu di bawah 16 tahun daripada membuka akaun media sosial.



