KUALA LUMPUR, 25 Mei — Hari terakhir Kejohanan Grand Asian Chess Challenge (GACC) ke-27 yang diadakan di Auditorium Kompleks Perdana Siswa (KPS), Universiti Malaya (UM), terganggu akibat gangguan bekalan elektrik yang tidak dijangka pada awal pagi ini.
Gangguan bekalan elektrik melumpuhkan kampus UM
Gangguan bekalan elektrik dipercayai menjejaskan seluruh kampus UM berlaku kira-kira pukul 8.45 pagi semasa fasa persiapan akhir sebelum pusingan pertama bermula.
Pengarah kejohanan, Fabian Koay Kai Yao, berkata gangguan bekalan elektrik memaksa jadual perlawanan bagi kategori Rapid Age Group yang asalnya dijadualkan bermula pukul 9.00 pagi ditangguhkan selama satu setengah jam.
“Perlawanan terpaksa ditangguhkan sehingga pukul 10.30 pagi dan hanya bermula selepas bekalan elektrik dipulihkan sepenuhnya berikutan tindakan pantas pasukan teknikal bangunan dan Tenaga Nasional Berhad,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Walaupun berlaku gangguan, beliau berkata tiada perlawanan ditangguhkan ke hari lain dan semua pusingan yang tinggal berjaya diselesaikan hari ini.
Lebih 1,000 pemain dari 12 negara sertai kejohanan
Lebih 1,000 pemain dari 12 negara termasuk Indonesia, Vietnam, China, India, Filipina dan Malaysia mengambil bahagian dalam lima kategori kejohanan yang dianjurkan oleh Kolej Kediaman Kedua Universiti Malaya. — Bernama



