KUALA LUMPUR, 9 Jun — Polis sedang mengesan lima lelaki yang disyaki mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini semalam, selepas kejadian yang melibatkan beberapa buah kenderaan mewah itu dirakam dalam video dan tular di media sosial.
Lima suspek dikesan melalui video tular
Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Hoo Chang Hook berkata, pihak polis mengetahui kejadian itu melalui rakaman video tular dan dengan serta-merta memulakan siasatan. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi di sepanjang Jalan Dato Sulaiman, TTDI.
“Seorang saksi yang sedang menjalankan kerja topografi di kawasan itu ternampak lima lelaki mengeluarkan kabel dari lubang utiliti menggunakan sebuah kereta BMW. Saksi menegur kumpulan tersebut, menyebabkan semua suspek melarikan diri dari tempat kejadian dengan tiga buah kereta BMW — dua putih dan satu hitam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rakaman CCTV sahkan penglibatan suspek
Hoo berkata, semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dari kawasan sekitar mengesahkan penglibatan lima suspek dan kenderaan mewah tersebut dalam kejadian itu. Wakil Telekom Malaysia turut membantu siasatan dan menganggarkan kerugian akibat kecurian itu kira-kira RM20,000.
“Kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Polis minta bantuan orang awam
Polis menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau suspek yang terlibat supaya tampil membantu siasatan. Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields. — Bernama



