KUALA LUMPUR, 10 Jun — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah memperuntukkan RM60.1 juta dalam bentuk Bantuan Pendahuluan Pinjaman (WPP) kepada 40,099 pelajar diploma baharu yang mendaftar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan politeknik bagi kemasukan Jun 2026.
PTPTN memaklumkan setiap pelajar yang layak akan menerima RM1,500 menerusi WPP bagi membantu menampung sebahagian perbelanjaan awal berkaitan pendaftaran di institusi pengajian tinggi, sekaligus meringankan beban kewangan keluarga mereka.
Menurut kenyataan PTPTN, WPP ditawarkan kepada rakyat Malaysia yang bersetuju menerima kemudahan tersebut semasa memohon kemasukan ke IPTA melalui UPUOnline atau portal kemasukan universiti awam masing-masing. Pemohon juga perlu memenuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan, termasuk mempunyai ibu bapa atau penjaga yang merupakan penerima bantuan tunai Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
“Sejak WPP diperkenalkan pada tahun 1999 sehingga 30 April 2026, seramai 999,838 pelajar telah menerima manfaat daripada kemudahan ini, membabitkan peruntukan sebanyak RM1.48 bilion,” kata PTPTN dalam satu kenyataan hari ini.
Pelajar boleh menyemak status tawaran WPP melalui aplikasi myPTPTN dan menebus kemudahan tersebut di cawangan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara bermula hari ini dengan mengemukakan surat tawaran WPP dan MyKad. Tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan, iaitu dari hari ini (10 Jun) hingga 9 Ogos.
Sementara itu, Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, berkata pihaknya tetap komited untuk memastikan akses kepada pendidikan tinggi tersedia untuk semua lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.
“Inisiatif WPP ini bertujuan untuk membantu menampung sebahagian perbelanjaan yang ditanggung dalam persiapan awal pelajar baharu yang memasuki universiti awam dan politeknik,” katanya.
Pelajar yang ingin mendapatkan pinjaman pendidikan boleh melakukannya dalam talian menerusi aplikasi myPTPTN mengikut tarikh yang ditetapkan oleh universiti awam dan politeknik masing-masing bagi memastikan proses kelulusan yang lancar. Selain itu, pemohon dikehendaki memiliki akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang boleh dibuka melalui aplikasi yang sama. — Bernama



